SHAH ALAM: Kira-kira 95 peratus bantahan terhadap kenyataan saksi yang dibacakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Bantahan tersebut adalah terhadap perkara-perkara berkenaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan Najib Razak seperti yang ditulis Tommy dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy sebagai responden berkata bantahan tersebut adalah seperti dinyatakan sebelum ini dan diarah difailkan pada 5 September lalu.
Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Khadijah Idris dalam penghakimannya membenarkan bantahan dalam 22 daripada 62 soalan yang dikemukakan termasuk mengeluarkan sebahagian soalan atau jawapan yang dianggap sebagai tidak relevan.
Beliau memutuskan untuk mengeluarkan sebahagian daripada testimoni Najib yang dianggap sebagai hearsay, memasukkan pendapat undang-undang, tidak dinyatakan seperti dalam pernyataan tuntutan (SOC) serta perintah mahkamah sebelum ini berhubung siasatan pasukan petugas khas berkaitan buku tersebut.
Peguam Tommy, Alan Gomez dan syarikat penerbit buku berkenaan GB Gerak Budaya Enterprise Sdn. Bhd, Gokul Radhakrishnan, membantah keterangan bertulis itu dengan alasan mahkamah sudah pun memutuskan hasil siasatan pasukan petugas khas itu tidak boleh diterima, namun masih dirujuk oleh Najib.
Bantahan lain turut melibatkan soalan-soalan bernombor 10, 12, 13, 14, 19, 23, 26, 27, 28, 29, 31, 32, 33, 46, 47, 48, 49, 50, 51, 54, 56, 57 dan 61 yang berkaitan dengan dakwaan yang dipersoalkan Najib dalam memoir tulisan Tommy bertajuk itu yang dikatakan memfitnahnya.
Secara keseluruhan, sebanyak 62 soalan dikemukakan oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam saman fitnah beliau terhadap Tommy.
Hakim Khadijah kemudian menetapkan 17 November untuk meneruskan prosiding perbicaraan.
Utusan Malaysia pada 29 Ogos lalu melaporkan Alan memberitahu terdapat sekurang-kurangnya 10 hingga 12 bantahan akan difailkan berhubung pernyataan tersebut.
Katanya, Najib tidak sepatutnya menyatakan sedemikian, sedangkan hanya mahkamah boleh menentukan maklumat dalam pernyataan tersebut sebagai hearsay atau tidak.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini mengemukakan saman terhadap Tommy mengenai memoirnya berhubung kenyataan fitnah yang dibuat dalam buku yang didakwa mengaitkannya dalam pembunuhan Altantuya dalam Bab 42. – UTUSAN










