SHAH ALAM: Faktor tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi dikenal pasti punca utama insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Keadaan itu mengakibatkan berlakunya kegagalan menyokong struktur paip itu sehingga ia pecah dan berlakunya kebocoran lalu terbakar.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan teknikal dijalankan pihaknya selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di lokasi itu.
“Kegagalan itu menyebabkan paip mengalami tekanan berulang hingga mencetuskan garis keletihan dan akhirnya pecah. (Struktur) Tanah yang lemah itu menyebabkan paip bergerak berulang kali dan menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan pada permukaan paip.
“Ia kemudian mengakibatkan gas yang terlepas itu terbakar dalam insiden kira-kira pukul 8.08 pagi,” katanya ketika membentangkan laporan itu, semalam.
Jelas Husdin, hasil analisis metalografi turut mengesahkan kegagalan itu berpunca daripada tensile overload yang berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile dan mencetuskan kebakaran.
“Siasatan turut mendapati ia bukan disebabkan sebarang aktiviti di permukaan tanah namun masalah geoteknikal yang tersembunyi di bawah tanah. Ia (akhirnya) bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam dan merosakkan infrastruktur, malah gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kata Husdin, bagaimanapun paip berkenaan masih memenuhi spesifikasi teknikal ditetapkan selepas pemeriksaan visual di lokasi, semakan komponen paip, pengukuran struktur dan analisis terhadap sampel dilakukan.
Tambahnya lagi, pihaknya menghantar lima sampel paip gas kepada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) bagi analisis lanjut.
“Kesemua sampel itu dihantar secara berperingkat bermula pada 15 April sehingga 8 Mei lalu,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis selesai melengkapkan siasatan berhubung insiden itu termasuk melibatkan unsur kecuaian atau khianat.
Letupan pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar.
Sebanyak 218 rumah lagi bagaimanapun tidak terjejas termasuk melibatkan Kampung Tengah, Puchong. – UTUSAN