6,881 kes tuntutan pengguna selesai

6,881 kes tuntutan pengguna selesai

Tuntutan pengguna
ARMIZAN Mohd. Ali merasmikan program Happy Hour Jualan Rahmah Madani pada Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 9,203 pemfailan pelbagai tuntutan pengguna yang bernilai RM77.2 juta direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 14 November tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), sebanyak 6,881 kes  daripada jumlah tersebut diselesaikan melalui pelbagai saluran termasuk portal rasmi TTPM dan pejabat kementerian di seluruh negara.

Katanya, malah rakyat boleh membuat aduan melalui aplikasi ez-TTPM, sekali gus memberi alternatif lebih cepat tanpa perlu hadir ke premis TTPM atau pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh memfailkan tuntutan, memuat naik dokumen sokongan serta menyemak status kes hanya melalui telefon pintar.

“Perkhidmatan kami sentiasa tersedia untuk pengguna dan yang paling penting ialah keberkesanan sistem aduan yang dilaksanakan melalui aplikasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan aplikasi ez-TTPM sempena Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, hari ini.

Armizan berkata, pelancaran aplikasi ez-TTPM merupakan penambahbaikan terbaharu KPDN selepas pembangunan Sistem E-Tribunal dan portal aduan yang mula beroperasi pada Oktober 2024.

Katanya, sebelum ini semua proses tuntutan perlu dilakukan secara fizikal di premis TTPM, namun peningkatan teknologi membolehkan akses tersebut diperluas terus kepada masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.

“Sekarang failkan aduan, naikkan dokumen dan semak pergerakan kes boleh dilakukan di mana-mana. Ini penting untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 hari ini menutup tirai dengan acara kemuncak siri terakhirnya di adakan di Zon Tengah sehingga esok.

Program yang meraikan usahawan tempatan tersebut memberi peluang bagi memperkenalkan produk serta memperluas rangkaian perniagaan masing-masing, selain memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN