SHAH ALAM: Pembinaan padang golf oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di atas tanah seluas kira-kira 67.77 hektar di Sepang hanyalah cadangan yang merupakan sebahagian daripada projek Cyber Valley di atas kawasan berkeluasan 645 hektar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan cadangan untuk menggantikan padang Kelab Golf Seri Selangor di Kota Damansara berikutan ia semakin dihimpit pembangunan di sana.
Beliau berkata, bagaimanapun, pembangunan Cyber Valley itu tidak meminggirkan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 1,523 unit di atas tanah keluasan kira-kira 20.23 hektar.
“Dalam kawasan tersebut, 50 ekar (20.23 hektar) adalah dalam penyediaan RSKU dengan jumlah 1,523 unit. 60 peratus daripada kawasan tersebut juga akan dibangunkan kawasan kediaman.
“2,389 atau 40 peratus adalah rumah harga bebas, itu rencana dalam kawasan keluasan itu dan PKNS sudah siap bina 864 rumah mampu milik Residensi Idaman yang siap sepenuhnya pada tahun 2022,” katanya dalam penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Amirudin menambah, sejak PKNS sudah pun menyediakan 2,877 unit rumah mampu milik pada 2013 dan akan menambah pembinaannya seperti di Kota Puteri dan Cyber Valley, sementara di Semenyih akan dibina 25,000 unit.
“Jadi, sebenarnya PKNS masih lagi menimbangkan tentang kawasan perumahan tersebut dan padang golf pula baru di peringkat cadangan dan kita kena semak balik kesesuaiannya dan melihat balik rencana tentang pembinaan di Seri Selangor,” jelasnya.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan PKNS digesa meletakkan kepentingan rakyat seperti pembinaan rumah mampu milik seperti sasaran pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku dalam Belanjawan Selangor 2024.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anak syarikat kerajaan negeri itu perlu berbuat demikian berbanding memilih untuk padang golf dan sebuah rumah kelab di atas tanah seluas kira-kira 67.77 hektar di Sepang.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua turut menolak perbandingan keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat hartanah Scientex sebanyak 28 peratus dengan pembinaan 10,000 rumah mampu milik.
“Saya perlu jelas, agak mustahil mana-mana pemaju mampu mencatatkan 28 peratus (keuntungan) untuk (dengan) membina rumah mampu milik. Penafsiran makna rumah mampu milik mereka pun lari antara RM300,000 hingga RM500,000. Penafsiran kita RM250,000.
“Saya membuat kiraan secara asas, kalau kita membina mengikut pandangan itu, 12,960 unit jumlah yang kita akan belanjakan kira-kira RM3.2 bilion dan kita akan berhutang kira-kira RM414 juta. Itu adalah kerangka yang saya rasa perlu dilihat dengan menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN










