DUN Selangor: Terbitan sukuk antara cadangan biaya projek Stadium Shah Alam

DUN Selangor: Terbitan sukuk antara cadangan biaya projek Stadium Shah Alam

Stadium Shah Alam
AMIRUDIN Shari menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2026 pada Sidang DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri yakin dapat membiayai pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam termasuk stadium yang bernilai RM2.937 bilion melalui tiga pilihan pembiayaan.

Ia termasuk cadangan terbaharu iaitu penerbitan sukuk melalui institusi kewangan di samping pertukaran tanah (land swap) dan penjanaan kewangan melalui komponen-komponen dalam kompleks tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi kesemua kaedah tersebut pembangunan KSSA oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) boleh dilaksanakan di samping pelaburan dan perancangan perniagaan anak syarikat kerajaan negeri itu.

“Beberapa rencana kita dalam pelaburan, perangsang dan sebagainya menyebabkan saya yakin mampu untuk membayar pinjaman dan juga sukuk yang kita akan pohon.

“Sukuk itu juga akan digantung oleh kerajaan negeri kerana, ia adalah projek negeri yang perlu dijamin untuk membawa kebaikan kepada negeri secara keseluruhan dan mempunyai penarafan 3A yang layak untuk menerima sukuk sebagaimana kekuatan aset dan kemampuan perniagaan yang kita ada.

“Tetapi, dengan kerangka atau penggantian yang kita ada termasuk mendapatkan hasil daripada unit yang kita dapat secara percuma hotel dan sebagainya itu yang kita anggap ia diluar daripada pembangunan tanpa mereka bangunkan, kita boleh anggarkan RM300 juta boleh dijana daripada pembangunan kawasan terbabit,” katanya dalam penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Jelasnya, beliau juga akan menimbang cadangan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menggunakan kaedah pengurangan kadar faedah berdasarkan baki pinjaman bagi mengurangkan beban pembiayaan oleh MBI.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan pembangkang Selangor mendakwa nilai kontrak antara Lembaran Prospek Sdn. Bhd. dengan MBI Selangor bagi pembangunan semula KSSA bernilai RM2.94 bilion.

Kontrak tersebut melibatkan MBI dengan syarikat milikan penuh oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu berdasarkan Surat Setuju Terima yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBI pada 16 Mei lalu.

Ia turut melibatkan kadar faedah lapan peratus yang perlu dibayar kepada MRCB disifatkan sebagai tinggi dan diluar kemampuan MBI Selangor.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan turut mengenal pasti lapan tanah milik MBI Selangor yang bernilai RM295.7 juta untuk digunakan sebagai tukar ganti bagi pembiayaan pembinaan projek KSSA dengan pajakan selama 99 tahun.

Katanya, ia turut melibatkan tiga bidang tanah di bawah Tanah Rizab Melayu, namun belum lagi dimuktamadkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Pembiayaan perlu dibuat secara keseluruhan pada 2029 melalui satu kaedah pembayaran seperti penerbitan sukuk turut diteliti sebagai pilihan untuk mengurangkan kadar faedah sekiranya keseluruhan pinjaman itu diambil daripada institusi kewangan konvensional.

“Sudah pasti antara kaedah pembiayaan untuk menampung kos keseluruhan adalah dengan menukar milik tanah. Sehingga kini sebanyak lapan bidang tanah milik MBI dikenal pasti dengan nilai RM295.704 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN