Selangor teliti ruang undang-undang kuat kuasa fatwa kepada organisasi

Selangor teliti ruang undang-undang kuat kuasa fatwa kepada organisasi

Fatwa Selangor
MOHAMMAD FAHMI NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang meneliti sebarang pindaan termasuk keperluan penggubalan undang-undang baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan agama Islam dan fatwa di Selangor.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, proses tersebut dilakukan bagi memastikan ia tidak bertentangan undang-undang Persekutuan dalam usaha mengekang gerakan liberalisme dan pluralisme akidah di negeri ini.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap pembatalan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 yang diputuskan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

“Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang memperhalusi ruang undang-undang bagaimana untuk mengenakan tindakan kepada pertubuhan-pertubuhan. Individu memang boleh, fatwa masih sah.

“Cuma kepada pertubuhan atau persatuan, kalau tidak nanti mereka (mana-mana individu) boleh menyorok di sebalik pertubuhan atau persatuan mereka. Tetapi kena pastikan tidak ada pertindihan dengan Persekutuan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Jelas Mohammad Fahmi, pihaknya juga meneliti terhadap keperluan untuk membuat semakan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara berkaitan dengan pertubuhan dan gerakan yang dibuat di dalam media sosial.

“Pertubuhan di bawah Persekutuan (Kementerian Dalam Negeri). Tak boleh buat apa (bertindak di luar bidang kuasa). Sebab itu bukan ruang untuk negeri,” tambahnya.

Beliau berkata, sehingga pindaan atau penggubalan undang-undang baharu dibuat pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang, pihak berkuasa agama negeri akan menguatkuasakan fatwa berkaitan akidah sedia ada bagi menghentikan gerakan berkaitan ajaran sesat atau bertentangan dengan Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu juga memaklumkan MAIS sedang meneliti titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mana-mana pertubuhan atau organisasi tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan Islam.

“Itu pun sebenarnya di bawah bidang kuasa JPP. Ia juga akan ada implikasi.

“(Bagaimanapun) Mereka iaitu individu yang melanggar fatwa masih belum terlepas. Fatwa masih dikuatkuasakan terhadap individu-individu yang melanggarnya,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum berhubung pertikaian menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor tidak membatalkan keseluruhan fatwa.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN