KUALA LUMPUR: “Saya mengaku tidak bersalah, mohon dibicara.”
Demikian kata pempengaruh media sosial, CEO Batu atau nama sebenarnya, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin di Mahkamah Sesyen Ampang di sini semalam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya dengan niat supaya ia dilihat mangsa berusia 14 tahun di sebuah kediaman di Sunway Batu Caves, dekat sini pada pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya pasport diserah kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, Mohd. Anif Rafih yang mewakili Muhamad Iqbal memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000 dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja selepas akaun media sosialnya disekat dan hanya memperoleh pendapatan RM3,000 sebelum ini sebagai pempengaruh.
“Tertuduh juga menanggung perubatan datuknya yang perlu menjalani rawatan jantung bulanan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan turut diperintahkan agar tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos depan bagi serahan dokumen.
Hari ini, Muhamad Iqbal akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.
Media sebelum ini melaporkan, CEO Batu ditahan susulan laporan yang diterima daripada seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun telah menerima mesej dan gambar berunsur seksual melalui aplikasi media sosial daripada lelaki berkenaan. – UTUSAN










