RUU Kualiti Benih Tanaman dijangka dibentang tahun depan

RUU Kualiti Benih Tanaman dijangka dibentang tahun depan

RUU Kualiti Benih Tanaman
MOHAMAD Sabu berucap pada Perasmian Penutupan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2025, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman dijangka akan dibentang pada tahun hadapan selepas segala maklumat dan maklum balas terutama daripada pemain industri diterima.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, ketika ini ia berada di peringkat libat urus bersama pemain industri sebelum ia dapat dimutakmadkan bagi mengeluarkan draf RUU berkenaan.

“Akta ini sebenarnya sesuatu yang baik untuk kita memastikan petani-petani kita membeli benih-benih yang berkualiti sahaja, kerana sekarang ini kalau mereka dapat benih yang tidak berkualiti atau lain dari yang dinyatakan mereka tidak ada satu tempat untuk lakukan aduan.

“Setakat ini kita tiada akta yang khusus untuk ambil tindakan terhadap penjual-penjual yang menjual benih yang tidak berkualiti ini,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Penutupan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2025, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannnya memberitahu pihaknya melalui Majlis Benih Negara sedang memperkemaskan undang-undang berkaitan benih bagi memastikan tiada lagi petani tertipu serta mengalami kerugian akibat benih palsu atau tidak berkualiti.

“Walaupun ada petani yang membangkitkan berkenaan undang-undang benih ini, yakinlah bahawa perubahan ini dilaksanakan bukan untuk menekan petani, tetapi untuk melindungi dan menjaga kepentingan petani sepertimana usaha kementerian selama ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohamad melalui sesi soal jawab khas Parlimen pada 18 November 2024 menyatakan Jabatan Pertanian menjalankan taklimat dan melaksanakan Analisis Impak Peraturan dan pengedar benih akan diwajibkan memohon lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN