KUALA LUMPUR: Malaysia meraih pelaburan lebih RM63 bilion setahun termasuk RM58 bilion daripada pelaburan asing, selepas pelancaran Strategi Sektor Semikonduktor Negara (NSS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek diluluskan termasuk pembungkusan lanjutan oleh Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, produk semikonduktor oleh NXP, fasiliti kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar dunia oleh Infineon, mikrofon dan sensor MEMS (Syntiant) serta pembuatan dan pembaikan semula papan litar bercetak oleh Plexus,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di sini, semalam.
Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai sekurang-kurangnya 13 syarikat tempatan dalam rantaian nilai semikonduktor yang berpotensi menjadi juara nasional.
“Sembilan daripadanya termasuk Carsem, Inari, Pentamaster, ViTrox dan Kelington dijangka mencatat pendapatan melebihi RM500 juta tahun ini.
“Empat lagi iaitu OppStar, SkyeChip, Infinecs dan Experior merupakan firma reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu (IC) yang mencatat pertumbuhan pendapatan tahunan melebihi 25 peratus,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia menyasarkan untuk melahirkan 10 syarikat dengan pendapatan melebihi AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dan 100 syarikat dengan pendapatan melebihi RM1 bilion.
Beliau turut mengumumkan kerjasama antara Pusat Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) di bawah Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Usaha ini adalah sebahagian komitmen di bawah NSS dengan peruntukan cadangan sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Kerajaan kini bersedia memberi sokongan lebih kukuh terhadap pelaksanaan NSS, khususnya dalam membangunkan kelompok 10+100 juara nasional, menerusi tumpuan kepada tiga bidang utama.
“Pertama, kita akan membuka lebih banyak akses kepada modal pemangkin untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) awal, pembangunan produk dan penskalaan ekosistem.
“Setakat ini, lebih RM2 bilion komitmen diterima termasuk daripada Khazanah, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Bank Negara dan rakan global,” katanya.
Menurut beliau, aspek kedua pula melibatkan perluasan diplomasi semikonduktor menerusi kerjasama antara kerajaan (G2G) dan pembinaan rangkaian teknologi yang diyakini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memimpin usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam rantaian nilai global,” katanya.
Tambah Anwar, tumpuan ketiga adalah pembangunan bakat menerusi kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia termasuk inisiatif bersama CREST dan HRD Corp. – UTUSAN










