Pengumuman PM perkukuh tekad terus bantu rakyat

Pengumuman PM perkukuh tekad terus bantu rakyat

Orang ramai menonton pengumuman Perdana Menteri di Seremban semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani menyelami denyut nadi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga merupakan tanda penghargaan untuk membalas kepercayaan dan kesetiaan rakyat dengan tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

“Langkah-langkah ini pas­tinya memperkukuh tekad kami di setiap peringkat pentadbiran, termasuk di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk terus menggandakan usaha memperkasa komuniti desa dan merapatkan jurang ekonomi rakyat secara menyeluruh.

“Terima kasih Perdana Menteri. Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat, memperkukuh keyakinan dan semangat perpaduan, serta menyemarakkan iltizam kita bersama untuk membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan sejahtera, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman penghargaan Perdana Menteri itu merupakan tekad Kerajaan Perpaduan untuk terus memelihara amanah rakyat.

Katanya, ia juga merupakan seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dari kampung hingga ke bandar, dari penjawat awam hingga ke petani.

“Ini bukti jelas betapa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama.

“Perdana Menteri memberi penghormatan yang selayaknya kepada rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kestabilan negara. Ucapan ini menyatukan semua pihak untuk terus fokus pada pembaharuan menyeluruh demi masa depan anak cucu kita.

“Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju. Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan ekonomi di bawah Kerajaan Madani bukan hanya ang­ka di atas kertas sebaliknya ia membuka ruang luas kepada pelaburan, peluang kerja dan dasar sosial yang menyasarkan rakyat terbanyak.

“Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh. Kenaikan harga lantai padi, insentif getah, dan program akar umbi seperti Sejati Madani menjawab keper­luan rakyat luar bandar.” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN