ARAU: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bersedia bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dalam pemilihan parti itu bersempena Muktamar Tahunan Pas, September depan.
Menurut Shahidan, sekiranya mendapat sokongan, ini merupakan kali pertama beliau akan bertanding dalam pemilihan itu memandangkan sebelum ini memegang jawatan tersebut menerusi lantikan.
“Saya tiada masalah untuk bertanding dan sentiasa bersiap-sedia. Kalau boleh bertanding, maka kita bertanding, sebab Pas ini ambil pendekatan untuk utamakan perpaduan daripada perebutan,” katanya selepas Mesyuarat Perpaduan Ummah Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, hari ini.
Pemilihan bersempena Muktamar Tahunan ke-71 di Kedah, September depan bakal menjadi tumpuan berikutan akan berlangsungnya pemilihan jawatankuasa parti itu bagi penggal baharu.
Utusan Malaysia pada 5 Julai lalu turut melaporkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu sentiasa terbuka mempertandingkan semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan berkenaan.
Untuk rekod, pada 31 Oktober 2023, Shahidan yang merupakan bekas pemimpin UMNO diumumkan menjadi antara sembilan AJK Pas lantikan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berlangsung sebelum ini bersetuju dengan cadangan dan pelantikan ahli jawatankuasa lantikan itu berdasarkan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.
Shahidan sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi dan kemudian menyertai Pas selepas dipecat keahlian UMNO.
Beliau kemudian bertanding sebagai ahli Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan turut membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN) buat kali pertama di Perlis.-UTUSAN