Pembangkang kesal usul ditolak, sedia bahas secara aktif esok

Pembangkang kesal usul ditolak, sedia bahas secara aktif esok

Usul Putra Heights
MOHAMED Azmin Ali ditemui pemberita pada sidang akhbar pada Sidang DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangkang Selangor kesal apabila dua usul tergempar termasuk petisyen berhubung insiden letupan paip gas Putra Heights yang dikemukakan mengikut Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1965 ditolak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Perkara itu dikesalkan kerana usul tersebut khususnya petisyen daripada penduduk yang merupakan mangsa sepatutnya diutamakan berbanding soalan kepada Menteri Besar di bawah Perkara 13(f).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan laporan penuh tanpa sebarang elemen dipadam atau disorok daripada pengetahuan umum.

Menurutnya, bagaimanapun enggan membuat sebarang tuduhan berhubung isu tersebut sehingga beliau mendengar penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sesi penerangan yang dijadualkan dalam Sidang DUN Selangor, esok.

“Kami akan mengambil bahagian secara aktif kerana kami ada maklumat-maklumat untuk membuktikan ada perkara tidak tepat atau jelas dalam laporan yang dikemukakan.

“Kita mendesak supaya kertas putih dibentangkan yang cukup komprehensif, memberikan pendedahan dan juga penyelesaian untuk masa akan datang dan kita mahu memperhalusi faktor-faktor yang mencetuskan insiden itu,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang DUN Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pembangkang Selangor mengemukakan dua usul tergempar termasuk petisyen penduduk berhubung tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Mohamed Azmin ketika itu memberitahu, kedua-dua usul tersebut sudah pun dikemukakan kepada Speaker pada Jumaat lalu untuk dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini.

Jelas Azmin, beliau yakin seramai 20 penduduk yang juga mangsa sudah pun menandatangani petisyen tersebut berasa kesal apabila rayuan mereka tidak diberi keutamaan.

“Ya saya pasti penduduk akan berasa kesal dan kecewa kerana petisyen dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin adalah penduduk yang membuat rayuan untuk mendapatkan penjelasan.

“Tetapi, kalau rayuan dan usul ditolak, yang (sepatutnya) diberikan keutamaan perjumpaan dan taklimat dalam bilik (tertutup), saya tidak percaya penduduk akan terima. Kami sudah berusaha tetapi pihak berkuasa menolak. Kami akan teruskan dalam sidang esok ketika sesi penerangan,” tegasnya.

Sementara itu, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh memberitahu beliau bimbang jika isu tersebut akhirnya tidak dibahaskan sekiranya Speaker menggunakan Perkara 25 peraturan tetap yang menggariskan larangan berbahas terhadap perkara yang akan membangkitkan pertelingkahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN