Pelantikan Nick Adams berisiko gugat hubungan Malaysia-AS

Pelantikan Nick Adams berisiko gugat hubungan Malaysia-AS

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan pempengaruh konservatif, Nick Adams, sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia berisiko menjejaskan hubungan dua hala berikutan latar belakang beliau yang kontroversi.

Kehadiran Adams di Malaysia juga dibimbangi mencetuskan ketegangan politik memandangkan beliau dikenali sebagai tokoh yang sering mengeluarkan kenyataan berunsur islamofobik, misoginis dan pro-Zionis.

Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pelantikan Adams boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang selama ini lantang mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, sebarang usaha membina hubungan harmoni antara kedua-dua negara juga berisiko terganggu sekiranya duta yang dihantar tidak memahami apatah lagi menghormati nilai serta budaya masyarakat majmuk di negara ini.

“Malaysia merupakan antara negara paling tegas dalam menentang penindasan terhadap Palestin. Maka, pelantikan duta yang secara terbuka menyokong agenda Zionisme adalah bercanggah dengan sensitiviti dan pendirian negara.

“Adams jelas bertentangan dengan prinsip dasar luar Malaysia yang menolak sebarang bentuk normalisasi dengan Israel. Pelantikan ini juga boleh membangkitkan kemarahan rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan, pencalonan Adams menerima bantahan lebih 20 NGO, termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), BDS Malaysia, Viva Palestina Malaysia dan Global Peace Mission, yang menyifatkan beliau sebagai individu ekstrem dan tidak sesuai dengan suasana harmoni di Malaysia.

Adams, 40, merupakan warganegara Australia-Amerika yang lantang bersuara di media sosial. Beliau berhijrah ke Amerika Syarikat pada 2012 dan memperoleh kewarganegaraan negara itu pada 2021.

Beliau sering berkongsi kandungan di platform X yang mempromosikan fahaman ‘lelaki alfa’ dan retorik konservatif.

Sementara itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, pendekatan Adams yang bersifat provokatiff dan tidak diplomatik boleh mencetuskan cabaran dalam komunikasi antara kedua-dua negara.

“Beliau bukan diplomat profesional. Gaya komunikasinya yang keras, kontroversial dan condong kepada fahaman politik ekstrem berpotensi mewujudkan salah faham, apatah lagi dalam isu sensitif seperti agama, perkauman dan dasar luar.

“Retorik Adams juga tidak mencerminkan semangat kerjasama atau saling menghormati yang sepatutnya menjadi asas hubungan dua hala,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN