Pas Teraju Pahang: ‘Impian sedang bergerak’ atau sekadar slogan kosong?

Pas Teraju Pahang: ‘Impian sedang bergerak’ atau sekadar slogan kosong?

Pemandangan bandar Kuantan dari udara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESTASI Kerajaan Negeri Pa­­hang yang mencatat nilai pe­laburan tertinggi di Pantai Ti­mur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, ‘mengendurkan’ kempen agresif pembangkang mahu menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Kempen ‘Pas Teraju Pahang’ itu giat digerakkan apabila pembangkang melancarkan gerak kerja dan mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri selain menyifatkannya sebagai ‘impian yang sedang bergerak’.

Jika slogan itu dimainkan Pas pada 15 atau 20 tahun lalu, mungkin tiada yang memandang berat kerana Pahang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN). Malah BN mempertahan rekod satu-satu­nya negeri belum pernah ditawan pembangkang bermula pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1955.

Namun sokongan rakyat terhadap BN merosot pada PRU-15 yang menyaksikan Kerajaan Negeri Pahang ‘tergantung’ kerana tidak ada mana-mana gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Pahang mempunyai 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti perlu menang 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah. Dalam pi­lihan raya itu, BN dan PN ma­sing-masing menang 17 kerusi manakala lapan kerusi milik Pa­katan Harapan (PH). Selepas melalui fasa perun­dingan, BN dan PH akhirnya bersetuju be­kerjasama membentuk kerajaan negeri.

Dalam usia 71 tahun Pas Pahang, keberadaan dan ‘impiannya’ untuk menjadikan Pahang negeri kelima diterajui PN tidak boleh dipandang mudah. Pas telah tujuh dekad ‘menanam benih’ di negeri itu dan berasakan mereka mampu menuai hasilnya pada PRU-16.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar menyifatkan reaksi segelintir penyokong dan pemimpin UMNO seolah-olah seperti orang yang ‘dirasuk syaitan dan kepanasan’ apabila mendengar slogan ‘Pas Teraju Pahang’.

BN Pahang pula mempertaruh paparan rekod dan prestasi pentadbiran serta ekonomi, umpa­manya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang 2024 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, terbaik di Pantai Timur.

Selain itu, tiga tahun berturut-turut pendapatan kerajaan negeri bertambah. Terbaharu, Pahang dilapor mencatat nilai pelaburan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Prestasi itu mengatasi nege­ri lain seperti Terengganu yang merekodkan RM1.3 bilion dan Kelantan (RM1.1 bilion). Banyak lagi dilakukan Kerajaan Negeri Pahang untuk penduduknya se­perti membina masjid, memberi bantuan kepada jemaah haji, bantuan masjid, lapan rumah untuk rakyat bagi setiap DUN, bantuan kepada pelajar dan lain-lain.

Ia membuktikan bahawa ke­stabilan politik, dasar yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan yang mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan Pahang.

Justeru, tidak hairan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kempen Pas Teraju Pahang hanya slogan kosong tanpa membawa erti dan hala tuju sebenar kepada rakyat. Beliau menyifatkannya adalah satu permainan sentimen dan persepsi kerana Pas kekurangan modal manakala kerajaan negeri pula terus bergerak ke hadapan.

Dalam suasana mood PRU-16 yang semakin dirasakan, hanya rakyat yang tahu apa mereka mahukan dalam proses demokrasi itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN