PETALING JAYA: Usaha mengesan dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low masih diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan kekal mahu membawa Jho Low dan sekutunya dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
“Saya juga difahamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa usaha mereka untuk mengesan Jho Low dan sekutunya masih berterusan.
“Pihak PDRM kekal bekerja dengan agensi penguatkuasaan tempatan dan di luar negara untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Terbaharu, media antarabangsa melaporkan, usahawan yang sedang diburu itu dipercayai kini menetap di Shanghai, China.
Pendedahan ini dibuat oleh dua wartawan penyiasatan tersohor, Bradley Hope dan Tom Wright, dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut mereka, Jho Low tinggal di kawasan elit Green Hills, memandu kereta mewah dan menggunakan pasport Australia palsu. Lebih mengejutkan, beliau juga dikatakan beroperasi dari Pusat Kewangan Shanghai, walaupun pihak berkuasa Malaysia masih aktif menuntut ekstradisinya.
Dalam laporan itu juga, Jho Low didakwa kini memegang peranan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China, khususnya membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa untuk terus beroperasi di peringkat global.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tiga pertuduhan dihadapinya, Azalina berkata, beliau sudah menerima maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“AGC sedang meneliti dan mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, Najib menerima DNAA daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya. – UTUSAN










