SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) disifatkan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas didakwa gagal hadir bagi memberi penerangan sebanyak dua kali kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri ini.
Pengerusinya yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Senator Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman tidak hadir mesyuarat PAC pada 12 dan 18 Jun lalu bagi menjawab isu berbangkit berhubung pengurusan kewangan Unisel.
Menurutnya, Ahli Dewan Negara yang dilantik pada Februari itu perlu menjelaskan 10 perkara berbangkit berkaitan tatacara pengurusan kewangan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang ditadbirnya sebelum tamat perkhidmatan pada bulan lalu, seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
“Saya sudah pun memaklumkan kepada DUN bahawa PAC sebulat suara bersetuju supaya tindakan diambil terhadap Naib Canselor Unisel kerana kegagalan beliau sebanyak dua kali untuk hadir memberi keterangan.
“Kalau kita rujuk kepada Perkara 3 dan 4 (Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor 2009), kegagalan untuk hadir apabila diperintahkan boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan menghina dewan dan perkara itu boleh menyebabkan tindakan diambil menurut peruntukan undang-undang seda ada,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu memaklumkan PAC turut menghantar surat kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor dan dinasihatkan supaya satu laporan polis dibuat terhadap Mohammad Redzuan yang juga Presiden universiti berkenaan.
“Laporan polis dibuat pada 2 Julai lalu di Balai Polis Shah Alam. Saya difahamkan beberapa saksi sudah pun dipanggil dan kita serahkan hasil siasatan kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Terdahulu, pada Sidang DUN Selangor, Mohamed Azmin membawa usul Penyata PAC bagi Dewan Negeri Selangor Ke-15 berhubung LKAN bagi 2021, 2022 dan 2024 yang dibentangkan sebelum ini.
Dalam usul tersebut, beliau menyatakan 13 agensi sudah dipanggil untuk memberikan penerangan antaranya Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, beberapa pejabat tanah dan daerah (PTD) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.
“Susulan taklimat daripada Jabatan Audit Negara (JAN) Selangor, PAC bersetuju memanggil Unisel untuk menerangkan mengenai 10 isu yang dilaporkan dalam LKAN 2024, Setiausaha Dewan mengeluarkan surat pada 19 Mei untuk memanggil Naib Canselor Unisel.
“Namun, pada hari persidangan Mohammad Redzuan tidak hadir kerana kontrak perkhidmatannya sebagai Naib Canselor akan tamat pada Jun lalu. PAC berpandangan alasan itu tidak munasabah kerana berhak memanggil mana-mana saksi tanpa mengira masih atau tidak lagi berkhidmat dengan agensi yang disiasat,” tambahnya.
Malah, Mohamed Azmin memberitahu PAC memberi peluang kedua kepada beliau untuk hadir pada 18 Jun bagi tujuan sama dengan mengeluarkan surat saman hadir kepadanya.
“Beliau juga diberi peringatan tentang kewajibannya untuk hadir di hadapan PAC di bawah Peruntukan 68(iv) Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan Seksyen 3 dan 4 Enakmen Penghinaan Dewan Negeri Selangor yang membawa hukuman penjara jika gagal hadir.
“Pada 15 Jun Mohammad Redzuan memaklumkan sekali lagi kepada jawatankuasa yang beliau tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri sesi ujian kemahiran menembak dan memperbaharui lesen senjata api. Sehingga kini PAC gagal mendapat penjelasan beliau,” katanya. – UTUSAN