ARAU: Mekanisme pemantauan harga yang lebih cekap antara yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa semalam tidak memberi tekanan berlebihan kepada perniagaan dan rakyat.
Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, antara lain, komunikasi dasar yang telus dan penglibatan aktif semua pihak penting bagi memastikan keberkesanan peluasan SST itu.
Katanya, kejayaan atau kegagalan peluasan SST itu banyak bergantung kepada keseimbangan antara keperluan negara dan tanggungjawab untuk kebajikan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencabar disebalik tidak selari dengan pendapatan rakyat.
Ujar beliau, pelaksanaan peluasan SST secara bersasar itu juga mempunyai potensi besar bagi mengukuhkan fiskal Malaysia.
“Bagaimanapun, ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang lebih teliti khususnya berkaitan subsidi kepada B40 dan M40.
“Kerajaan perlu memberi fokus berkenaan kaedah penambahbaikan kepada kesan tidak langsung ke atas pengguna agar tidak terkesan dengan peluasan SST ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Shamshul Anaz berkata, secara asasnya terdapat kebaikan dan keburukan pelaksanaan peluasan SST tersebut khususnya bagi menambah hasil pendapatan negara kepada RM5 ke RM10 bilion setahun.
Katanya, antara kebaikan lagi, cukai berkenaan fokus kepada barangan mewah, bukan keperluan asas selain impak inflasi juga dijangka rendah.
“Malah, hasil itu boleh bantu subsidi rakyat yang lebih progresif kepada B40 dan M40 selain untuk tujuan pembangunan negara,” katanya.
Ujar beliau, daripada segi keburukan pula ia bakal mengurangkan kuasa beli pengguna terutama membabitkan golongan B40 dan M40 disebabkan cukai perkhidmatan meningkat walaupun barangan asas dikecualikan.
Katanya, selain itu, ia juga dijangka menaikkan kos perkhidmatan seperti sewaan, kesihatan dan pendidikan swasta.
“Antara lain beban kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana daripada segi kos operasi dan sistem. Syarikat mungkin hadapi tekanan margin dan permintaan lemah,” katanya.-UTUSAN