ALOR SETAR: Perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan bermula 1 Julai lalu didakwa turut membawa implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain berkata, perluasan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi serta pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup pelajar.
Katanya, golongan mahasiswa secara realitinya berada dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan serta sokongan keluarga.
“Kenaikan kos ini akan memberi tekanan tambahan kepada pelajar yang sedang bergelut dengan perbelanjaan harian dan kos pendidikan sedia tinggi.
“Lebih membimbangkan, beban ini turut dirasai oleh keluarga pelajar, khususnya daripada golongan B40 dan M40 yang kini menghadapi tekanan kos sara hidup secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamad Amar berkata, namun pihaknya menyokong dasar fiskal negara yang berorientasikan kelestarian, tetapi pelaksanaannya harus lebih inklusif dan tidak menjejaskan golongan rentan seperti mahasiswa.
“Kami gesa kerajaan semak semula senarai perkhidmatan yang dikenakan SST dengan mengambil kira keperluan pelajar,” katanya.
Beliau mencadangkan agar satu bentuk pengecualian cukai atau subsidi bersasar diperkenalkan, khususnya untuk perkhidmatan asas pembelajaran.
Ujarnya, MPP UUM kekal komited menjadi suara mahasiswa dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan akan terus berperanan aktif dalam menyuarakan kebimbangan itu kepada pihak universiti dan kementerian berkaitan,
“Ia agar suara mahasiswa diambil kira dalam setiap perumusan dasar. Kepentingan pelajar harus menjadi pertimbangan utama dalam setiap langkah pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN










