Malaysia sedia jadi hab produk halal New Zealand di ASEAN

Malaysia sedia jadi hab produk halal New Zealand di ASEAN

AHMAD Zahid Hamidi mengadakan perbincangan bersama Andrew Hoggard pada Forum Halal Malaysia - New Zealand di Wellington, New Zealand, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON, NEW ZEALAND: Malaysia menyatakan kesedia­an menjadi hab produk halal dari New Zealand bagi tujuan pengedaran dan pemasaran negara Oceania itu di pasaran Asia Tenggara.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengajak pemain industri halal di New Zealand untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini bagi mengintai peluang pasaran ASEAN.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, pendekatan lain yang diambil bagi membuka laluan kepada New Zealand menembusi pasaran Asia Tenggara melalui Malaysia adalah dengan memberi pengiktirafan halal kepada organisasi di negara Oceania itu.

“Saya ambil peluang kebe­radaan di Wellington (New Zealand) untuk memberi tekanan kolaborasi antara Malaysia dan New Zealand. Tekanan saya berikan adalah mengenai promosi produk halal dari negara ASEAN ke Asia Pasifik.

“Dalam hal ini, terdapat dua organisasi yang telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengeksportan produk dari New Zealand ke Malaysia.

“Jadi, saya telah membuka peluang untuk mereka menggunakan Malaysia sebagai hab bagi pengedaran produk halal dari New Zealand untuk negara ASEAN. Untuk itu, saya memberi cadangan kepada pemain industri halal di New Zealand untuk menyertai MIHAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Forum Halal Malaysia – New Zealand di sini, semalam yang turut dihadiri Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand, Andrew Hoggard serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki.

Ahmad Zahid berkata, pada pameran itu, Malaysia akan mengumumkan kerjasama pembentukan Majlis Halal ASEAN yang disertai oleh negara-negara Asia Tenggara.

Katanya, Malaysia menjemput badan-badan yang mengiktiraf produk halal dan mendapat persetujuan Jakim untuk menyertai Majlis Halal ASEAN Plus Plus bagi menyelaraskan piawaian halal.

Dalam forum itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LoI) an­tara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University of Canterbury (UC).

Dokumen itu memfokuskan usaha pengukuhan kerjasama dalam bidang kejuruteraan kimia dan proses, teknologi makanan halal dan pembangunan lestari.

Ditanya permohonan ketat halal Jakim masih membelenggu syarikat di New Zealand, Ahmad Zahid berkata, isu itu tidak lagi wujud.

Katanya, Jakim telah memberi kuasa kepada dua organisasi halal di New Zealand bagi tujuan pensijilan dan tidak perlu lagi melalui agensi tersebut.

“Jakim akan terus mengadakan pengauditan dari semasa ke semasa supaya piawaian ini diikuti. Kita tidak nampak sebarang permasalahan kerana pagi tadi (semalam) saya adakan perbicnangan dengan dua persatuan yang memprolehi pensijilan halal dari Jakim dan DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar),” katanya.

Pada tahun lalu, nilai eks­port New Zealand ke Malaysia melebihi NZD60 juta (RM151 juta) membabitkan produk daging halal premium. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN