Korban hujan lebat di Korea Selatan meningkat 14 orang

Korban hujan lebat di Korea Selatan meningkat 14 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Sekurang-kurangnya dua lagi maut akibat hujan lebat yang melanda Korea Selatan hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 14 orang, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Angka korban berkemungkinan meningkat memandangkan 12 mangsa masih belum ditemui selepas lima hari hujan berterusan.

Hujan lebat yang melanda daerah Gapyeong di wilayah Gyeonggi, kira-kira 70 kilometer dari timur Seoul, awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan empat lagi hilang.

Menurut agensi berita Yonhap, seorang wanita berusia 70-an maut selepas rumahnya ranap akibat tanah runtuh, manakala mayat seorang lelaki berusia 40-an ditemukan berhampiran sebuah jambatan selepas dipercayai lemas.

Berdasarkan data rasmi, jumlah keseluruhan kematian akibat hujan lebat selama lima hari itu kini mencecah 14 orang.

Kebanyakan kematian berlaku di daerah Sancheong di selatan negara, yang menerima hampir 800 milimeter hujan sejak Rabu lalu.

Dua mayat ditemukan di daerah tersebut pada awal pagi Ahad semasa operasi mencari dan menyelamat, menjadikan jumlah kematian di kawasan luar bandar dengan 33,000 penduduk itu kepada lapan orang, manakala enam lagi masih hilang.

Korea Selatan lazimnya mengalami hujan monsun pada Julai dan biasanya bersedia menghadapi situasi tersebut.

Namun, sepanjang minggu ini, kawasan selatan negara itu mengalami hujan lebat luar biasa, dengan beberapa kawasan mencatatkan jumlah hujan sejam tertinggi dalam sejarah.

Pada 2022, Korea Selatan turut dilanda banjir dan hujan yang memecahkan rekod, dengan mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN