PASIR MAS: Majoriti mereka adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas. Tetapi jari-jemari tidak pernah berhenti menyusun sehelai demi sehelai helaian daun mengkuang semata-mata mahu memastikan kemahiran tradisi nenek moyang tidak lenyap ditelan kemajuan.
Begitulah gigihnya sekumpulan warga emas dari Kampung Kolam, Gelang Mas, di sini, yang terus berjuang menggunakan baki-baki usia mereka semata-mata untuk mempertahankan seni anyaman tikar mengkuang.
Bagi mereka, ia bukan sekadar hobi tetapi itulah sumber pendapatan utama dalam meneruskan kelangsungan hidup dan pada masa sama memastikan produk warisan yang wajib ada di setiap buah rumah satu ketika dahulu tidak lenyap begitu sahaja.
Dengan tangan yang telah dimamah usia, warga emas itu sabar menyisir daun mengkuang, mencelup pewarna dan menganyam corak-corak tradisional yang kaya dengan nilai estetika.
Seni anyaman tikar mengkuang bukan sekadar hasil kraftangan malah melambangkan identiti, kesabaran, kreativiti, dan kebijaksanaan turun-temurun.
PERTAHAN WARISAN
Seorang warga emas, Siti Zaibah Teh, 62, berkata, selagi kudratnya masih gagah dia akan mempertahankan warisan keluarganya itu sehingga akhir hayatnya.
Katanya, anyaman tikar mengkuang merupakan mata pencarian utama sejak puluhan tahun lalu yang digunakan untuk mengukuhkan kantung kewangan keluarga selain membesarkan anak-anak.
“Selain mengisi masa terluang ketika ini, hasil jualan tikar mengkuang ini dapatlah saya gunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Siti Zaibah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Mok Bah secara berseloroh memberitahu, badannya akan sakit-sakit dan akan demam sekiranya tidak dapat menganyam tikar mengkuang.
“Anyaman tikar mengkuang sudah sebati dengan hidup. Saya terdedah dengan kerja-kerja tersebut sejak berusia 12 tahun dan inilah satu-satunya kemahiran yang saya miliki.
“Kalau sehari tidak menganyam tikar mengkuang seluruh badan saya akan sakit dan boleh demam,” katanya.
Mok Bah memberitahu, walaupun anak-anaknya ada meminta supaya dia ‘berehat’ namun dia memilih untuk meneruskan kerja-kerja tersebut.
“Ini jiwa dan ‘hiburan’ Mok Bah. Saya rasa gembira jika dapat menganyam tikar mengkuang setiap hari,” katanya.
USIA BUKAN PENGHALANG
Bagi Mek Ana Awang, 70, pula, usia bukan penghalang untuk dirinya terus aktif melakukan kerja-kerja anyaman tikar mengkuang.
Katanya, kerja-kerja tersebut tidak memerlukan tenaga yang banyak kecuali tumpuan penuh semasa menganyam.
“Selagi sihat dan mempunyai kudrat, saya akan meneruskan kerja-kerja ini yang sudah sebati dengan hidup ini,” ujarnya.
Mok Bah berkata, setiap bulan dia mampu menghasilkan 10 keping tikar mengkuang pelbagai saiz yang dijual bermula pada harga RM80.

TUNTUT KESABARAN TINGGI
Bagi Siti Kamariah Teh, 56, pula, proses pembuatan tikar mengkuang sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi serta tumpuan penuh.
Katanya, ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana dibimbangi akan menjejaskan kualiti produk yang dihasilkan nanti.
“Untuk menghasilkan produk berkualiti ia bermula daripada pemilihan daun mengkuang, proses melurut, mencelup warna dan menjemur sebelum kerja-kerja menganyam dilakukan.
“Sepanjang tempoh itu, kami akan berhati-hati supaya kerja-kerja menganyam berjalan lancar dan daun mengkuang yang digunakan tidak rosak,” katanya.
Katanya, kehalusan kerja-kerja tangan anyaman tikar mengkuang oleh warga emas di Kampung Kolam bukan sahaja mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia malah menjadi buah tangan yang sering dibeli oleh pelancong asing.
Kata Siti Kamariah, mengikut maklumat daripada pemborong, tikar buatan Kampung Kolam pernah dibeli oleh orang Jepun.
“Satu kebanggaan buat kami di sini apabila tikar mengkuang itu dibeli oleh orang asing.
“Ia membuktikan bahawa hasil kerja tangan kami mendapat pengiktirafan sekali gus memberi semangat untuk terus menganyam tikar mengkuang,” ujarnya.

10 WARGA EMAS MASIH AKTIF
Siti Kamariah berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 10 orang warga emas masih aktif menghasilkan tikar mengkuang di kampung berkenaan.
Katanya, kebanyakan mereka ini mewarisi kemahiran daripada keluarga masing-masing yang merupakan pengusaha tikar mengkuang secara kecil-kecilan satu masa dahulu.
Walaupun usianya sudah mencecah 74 tahun, Siti Hasnah Teh berkata, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan generasi baharu yang berminat mendalami anyaman tikar mengkuang.
Katanya, pelajar dan tenaga pengajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) antara kumpulan yang sering bertandang ke Kampung Kolam untuk mempelajari selok-belok anyaman tikar mengkuang.
“Saya gembira bila dapat berkongsi pengalaman dan mencurahkan ilmu kepada generasi baharu.
“Besar harapan saya supaya warisan ini kekal subur dalam arus kemodenan dunia hari ini,” ujarnya.
Katanya, dia lega apabila salah seorang anaknya iaitu Siti Normah Mohd. Zin, 54 mewarisi kemahiran membuat tikar mengkuang tersebut.-UTUSAN.










