SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen negeri ini akan diberikan taklimat insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Isnin ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, taklimat itu dianjurkan khusus kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada di blok kerajaan atau pembangkang.
“Saya memohon Speaker DUN Selangor dapat memberi ruang untuk menjelas dan menerangkan berhubung isu itu.
“Kerajaan negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis mengesahkan tiada sebarang unsur kecuaian, sabotaj atau khianat berhubung insiden letupan saluran paip gas milik Petronas itu pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan dapatan itu diperoleh menerusi hasil siasatan terperinci yang dijalankan sebelum ini.
Siasatan menyeluruh bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Petronas mendapati kejadian itu berpunca saluran paip gas bawah tanah.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerusi hasil siasatan teknikal mendapati faktor tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi dikenal pasti punca insiden itu
Keadaan itu mengakibatkan berlakunya kegagalan menyokong struktur paip itu sehingga ia pecah dan berlakunya kebocoran lalu terbakar.
Semalam, Amirudin menegaskan beliau tidak pernah masuk campur dalam siasatan itu, malah ia dilaksanakan secara bebas dan telus sementara kerajaan negeri pula bertindak sebagai saksi.
Letupan itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar. Sebanyak 218 rumah lagi bagaimanapun tidak terjejas termasuk melibatkan Kampung Tengah, Puchong. – UTUSAN