Ibu bapa Zayn Rayyan: Bebas atau bela diri?

Ibu bapa Zayn Rayyan: Bebas atau bela diri?

NASIB Zaim Ikhwan Zahari (kanan) dan isterinya, Ismanira sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri akan diketahui hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin akan mengetahui nasib mereka sama ada akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu hari ini.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh dijangka akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan kira-kira pukul 9 pagi.

Selain boleh dibebaskan atau dipanggil membela diri, pasa­ngan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf turut berdepan kemungkinan hanya seorang sahaja di antara mereka dibebaskan dan seorang lagi dipanggil membela diri.

Pada 13 Jun 2024, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 5 Di­sember 2023.

Bagaimanapun pada 13 Mac lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan yang dikenakan terhadap pasangan itu dengan memperincikan lokasi kejadian.

Pertuduhan asal yang dibacakan buat pertama kali pada 13 Jun 2024 tidak menyatakan ‘kawasan Blok R, Apartment Idaman’ dan ‘kawasan sungai berdekatan’.

Pada 24 April lalu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi menutup kes mereka selepas memanggil 20 orang saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan bermula pada 3 Februari lalu mengambil masa selama 20 hari.

Antara mereka yang dipanggil memberi keterangan ialah individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan iaitu Faizul Najib Abd Munaim.

Pengasuh kanak-kanak malang itu, Auni Afiqah Abas dan bekas Pakar Perunding Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan juga dipanggil.

Turut dipanggil ialah dua saksi kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup.

Menurut laporan Dr. Rohayu, punca kematian Zayn Rayyan adalah akibat dijerut dengan kuat berkemungkinan dengan menggunakan tali, lanyard atau kain yang dipintal.

Pakar forensik itu turut mendedahkan terdapat lebih 20 kecederaan akibat objek tumpul dan tajam termasuk kesan torehan di tangan dan tusukan objek di bahagian dubur mangsa.

Lelangit Zayn Rayyan juga terdapat kesan lebam menunjukkan benda asing di masuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut namun tidak membawa kepada kematian.

Daun pulai yang pokoknya berada kira-kira 10 meter daripada lokasi mayat Zayn Rayyan dijumpai turut berada dalam salur pernafasan kanak-kanak ma­lang itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×