CHIBA: Gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud melanda kawasan luar pesisir Semenanjung Kamchatka di Russia, awal pagi semalam, mencetuskan gelombang tsunami setinggi empat meter di seluruh Pasifik dan memaksa pemindahan ribuan penduduk di Russia, Jepun, Hawaii serta negara pesisir lain.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa cetek itu berlaku kira-kira 119 kilometer di timur-tenggara bandar Petropavlovsk-Kamchatsky yang mempunyai sekitar 165,000 penduduk dan dianggap antara 10 gempa bumi paling kuat di rantau itu sejak tahun 1952.
Di Russia, gelombang tsunami melanda bandar pelabuhan Severo-Kurilsk dan daerah Elizovsky, membanjiri loji pemprosesan ikan dan menenggelamkan bangunan, memaksa lebih 2,000 orang dipindahkan.
Pihak berkuasa di wilayah Sakhalin, timur jauh Russia turut mengisytiharkan darurat di utara Kepulauan Kuril.
Menurut pihak berkuasa, beberapa individu cedera, termasuk mereka yang terjatuh semasa melarikan diri dan seorang wanita yang dilaporkan cedera di terminal lapangan terbang.
“Ini adalah gempa paling kuat dalam beberapa dekad. Walaupun kerosakan berlaku, tiada kematian dilaporkan setakat ini dan sebahagian besar bangunan dilaporkan kekal utuh, termasuk sebuah tadika yang mengalami kerosakan kecil,” kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov dalam satu video di Telegram.
Setakat ini, sekurang-kurangnya enam gempa susulan berlaku, dengan tertinggi mencecah 6.9 magnitud.
Pihak Geofizik Rusia menjangkakan gegaran susulan akan berterusan dalam beberapa hari, namun tidak menjangka gegaran lebih kuat dalam masa terdekat.
Di Jepun, hampir dua juta penduduk berpindah ke kawasan tinggi terutama di wilayah utara Hokkaido dan Iwate.
Tiga gelombang tsunami dikesan dengan yang terbesar setinggi 1.3 meter tiba di pelabuhan wilayah Iwate namun perasi loji nuklear tidak terjejas dan tiada kecederaan atau kerosakan besar dilaporkan.
Beberapa kilang termasuk Nissan Motors menggantung operasi sementara untuk keselamatan pekerja. dan kawasan pantai ditutup, dengan pelancong dinasihatkan menjauhi laut.
Loji nuklear Fukushima yang pernah rosak dalam tsunami 2011 turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan semua pekerjanya.
Di Hawaii, siren amaran tsunami berbunyi di sekitar pantai Waikiki dan kawasan pesisir lain selepas Pusat Amaran Tsunami AS mengeluarkan amaran tahap tertinggi bagi seluruh negeri, dengan trafik sesak dilaporkan ketika orang ramai cuba meninggalkan kawasan pantai.
Sementara itu, amaran tsunami turut dikeluarkan di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Taiwan dan Filipina dengan arahan menjauhi kawasan pantai dikeluarkan.
Gelombang antara satu hingga tiga meter turut dijangka berlaku di Chile, Kepulauan Solomon, Costa Rica, Peru dan beberapa negara Kepulauan Pasifik lain seperti Australia, Mexico, New Zealand, Tonga, China dan Taiwan. – AFP/AGENSI










