FKU 2025 platform bina jaringan, pasar produk kraf ke peringkat antarabangsa

FKU 2025 platform bina jaringan, pasar produk kraf ke peringkat antarabangsa

`AINU Sham Ramli memberi penerangan tentang produk usahawan kraf kepada Mohd. Shukri Ramli (kanan) dan Abu Bakar Hamzah (dua dari kanan) semasa sesi walkabout FKU 2025 di pekarangan Kraftangan Malaysia cawangan Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Festival Kraf Utara (FKU) 2025 yang bermula dari Khamis lalu sehingga 4 Ogos depan di pekarangan kawasan Kraftangan Malaysia cawangan Perlis di sini telah membuka peluang dan menjadi platform buat usahawan kraf di negara ini mewujudkan jaringan perniagaan lebih meluas sehingga ke peringkat antarabangsa.

Festival berkenaan juga telah menghimpunkan seramai 70 usahawan khususnya sekitar kawasan Utara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli berkata, selain membuka peluang buat usahawan memasarkan produk secara terus, FKU 2025 juga berpotensi mewujudkan peluang perniagaan.

Katanya, ia apabila bakal pembeli yang dibawakan khas terdiri daripada wakil korporat, perhotelan dan kumpulan dari luar negara.

“Kita bawakan kumpulan luar negara antaranya dari selatan Thailand dan beberapa negara lain untuk membolehkan usahawan kita memperluaskan lagi pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Penganjuran kali ini, kita memberi fokus kepada aktiviti padanan perniagaan yang mana atas usaha dan kerjasama dengan rakan strategik, para usahawan kraf kita akan berpeluang melihat peluang-peluang yang boleh diteroka selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi walkabout FKU 2025, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah.

`Ainu Sham berkata, selain menampilkan keunikan produk yang diusahakan oleh usahawan terlibat, FKU 2025 turut menonjolkan karya dan penghasilan kraf dibawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti.

“Sepanjang penganjuran selama 12 hari itu, rakyat Perlis dan negeri berhampiran bersama pelancong luar juga berpeluang menghayati serta mendapatkan produk-produk kraf sebagai cendera kenangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, `Ainu Sham berkata, pada tahun ini, pihaknya mensasarkan kehadiran 35,000 pengunjung ke FKU 2025, membabitkan nilai jualan sekitar RM1 juta.

Katanya, jualan menerusi FKU 2025 dapat membantu usahawan kraf tempatan untuk menjana pendapatan dan ruang perniagaan yang lebih luas dari masa ke semasa.

“Selain itu, usahawan kraf terlibat juga diharap dapat membina jaringan dan hubungan lebih akrab dengan bakal rakan strategik perniagaan mereka antaranya dalam konteks produk, pembekalan bahan mentah dan perkongsian pintar membabitkan aspek kemahiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN