SHAH ALAM: Festival Buku Islami 2025 yang berlangsung ketika ini di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini, manawarkan lebih 1,000 judul buku berkaitan Islam kepada pengunjung.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara buku yang dijual pada festival yang julung kali diadakan adalah buku Muhaddisat, buku tafsir Imam Jalaluddin, buku Al-Itub dan lain-lain.
“Pihak penganjur mendapat permohonan daripada 45 penerbit untuk sertai festival kali ini, tapi mereka hanya menerima 30 penerbit untuk sertai.
“Lihat kehadiran pengunjung Festival Buku Islami ini agak meriah. Saya anggarkan tidak kurang dari 1,000 pengunjung yang hadir ke festival ini setiap hari ini,” katanya selepas merasmikan Festival Buku Islami 2025 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar.
Kata Amirudin, kerajaan Selangor festival buku akan diteruskan pada tahun hadapan sempena Festival Turath Islami itu sekiranya festival kali ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Daripada segi penerjemah buku para ilmuan, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan terus menterjemah buku para ilmuan daripada pelbagai disiplin sebagai bahan bacaan ilmiah rakyat Selangor.
“Kita bukan sahaja mahu negeri maju, tapi turut mahu rakyat negeri ini memenuhkan diri mereka dengan ilmu keagamaan dan berfaedah bagi kegunaan harian mereka.
“Kehadiran tokoh besar seperti Dr. Muhammad Akram Nadwi dan Syeikh Majdi Makki akan menambah nilai festival berdasarkan kehebatan ilmu mereka mengenai agama Islam,” ujarnya. – UTUSAN