SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri dinasihatkan bertabayyun dengan menyemak kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, kenyataan insiden mengaitkan kaum tertentu disifatkan tidak bertanggungjawab dan boleh menggugat keharmonian atau ketenteraman awam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting itu, seseorang wakil rakyat perlu menunjukkan teladan baik dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan serta boleh menimbulkan kebencian kaum.
“Semua pihak terutama Yang Berhormat (YB) dinasihatkan mengamalkan tabayyun terutama memastikan kesahihan berita terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jangan sesekali memperjudikan perpaduan rakyat yang dipertahankan selama 68 tahun kemerdekaan semata-mata kepentingan politik sempit,” katanya, hari ini.
Semalam, Mohd. Hafez yang juga ADUN Manjoi dilaporkan memohon maaf atas kekhilafan merujuk seorang wanita kaum Cina dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Beberapa pihak terutama sayap Pemuda DAP (DAPSY) tampil membuat laporan polis susulan hantaran awal di laman Facebook yang tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi kelmarin, seorang wanita berusia 41 tahun bertindak menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Suspek berjaya ditahan polis dan siasatan mendapati wanita itu memiliki rekod rawatan psikiatri dan kes dadah.
Mengulas lanjut, tegas Papparaidu, tindakan mengaitkan sesuatu insiden denga kaum tertentu adalah tidak adil dan berbahaya.
“Ia boleh mencetuskan salah faham seolah-olah keseluruhan kaum bertanggungjawab sedangkan ia hanya melibatkan individu tertentu.
“Beri ruang kepada pihak berkuasa menyiasat dan maklumat pelaku sama ada siuman atau sebaliknya mesti diputuskan berdasarkan siasatan, bukannya kenyataan politik terburu-buru,” ujarnya.
Tambah beliau, pemimpin masyarakat wajib menjaga tutur kata dan kenyataan yang menyentuh kaum, agama serta institusi Diraja dibuat dengan penuh tanggungjawab tanpa menimbulkan keresahan.
“Insiden seumpama ini harus dilihat sebagai satu bentuk ekspresi kasih dan taat setia rakyat kepada Raja. Sama ada ia melanggar tatasusila atau sebaliknya, biar pihak berkuasa dan Istana yang menentukannya,” jelasnya. – UTUSAN










