LONDON: Selebriti terkenal, Ellen DeGeneres mengesahkan pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) sebagai punca perpindahannya ke United Kingdom (UK).
Lapor BBC, kata Ellen keputusan berpindah diambil tidak lama selepas dia dimaklumkan mengenai kemenangan Trump dalam pilihan raya sekaligus menjadi Presiden AS ke-47.
“Saya berada di UK sehari sebelum pilihan raya di AS. Keesokannya saya menerima banyak mesej dari rakan-rakan yang memaklumkan dia (Trump) telah memenangi pilihan raya.
“Ketika itu jugalah saya membuat keputusan untuk terus menetap di UK,” katanya.
Pengacara berusia 67 tahun itu dalam masa yang sama memaklumkan dia kini selesa menjalani kehidupan tenang dan sederhana di Cheltenham, UK.
“Pekan ini cantik, saya jarang melihat tempat seindah ini. Perkampungan dan binaannya menambat hati. Kehidupan di sini juga ringkas. Tempatnya juga bersih, penduduk pula berbudi bahasa. Saya gembira di sini,” kongsinya.