SHAH ALAM: Tiada tindakan pencerobohan dilakukan oleh pemaju atau mana-mana kontraktor di kawasan letupan paip gas Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, sebaliknya kerja-kerja pembangunan atau pengorekan tanah di luar titik tapak kejadian.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, syarikat pemaju, Hong & Hong yang menjalankan kerja paip kumbahan di dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebelum mereka diberi kebenaran oleh Petronas.
Menurutnya, bagaimanapun Petronas meletakkan syarat supaya pemaju melantik kontraktor panel daripada syarikat minyak dan gas itu bagi menjalankan kerja-kerja penggalian di kawasan Right of Way (ROW) milik Petronas.
“Petronas antara lain sudah mensyaratkan untuk melantik panel yang digariskan oleh mereka.
Syarikat itu dinamakan sebagai Red Sinergy Sdn. Bhd. yang melakukan penggalian di kawasan-kawasan Petronas, hasil daripada cadangan mereka dikelola dan dipantau di bawah tindakan-tindakan Petronas.
“Sekali lagi, tidak ada pencerobohan, selepas dibenarkan. Syarikat yang melakukan atau dipilih itu melakukan satu tindakan yang tidak sewajarnya kerana dianggap disenarai hitam juga tidak memulakan kerja,” katanya pada penggulungan perbahasan isu Putra Heights dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penduduk di Putra Heights mendakwa berlaku pencerobohan bagi menjalankan aktiviti pembangunan di sekitar saluran paip gas sejak tahun lalu apabila terdapat kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jentera berat.
Amirudin berkata, bagaimanapun beliau menegur dan meminta MBSJ menambah baik pemilihan kontraktor sebelum pelantikan dibuat dengan membuat semakan menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Jelasnya, kelulusan kontraktor sebelum ini diluluskan di peringkat pusat setempat (OSC) yang tidak menentukan sebarang ketetapan untuk menyenaraikan arkitek yang hendak dilantik oleh pemaju.
“Perkara itu datang apabila pemaju menyerahkan Borang B yang diserahkan selepas kelulusan-kelulusan diputuskan, barulah mereka akan menghantar arkitek dan senarai kontraktor dilantik dan sebagainya.
“Itu adalah satu teguran terhadap PBT dan mereka perlu membetulkan aturan itu segera. Tak perlu pada laporan jawatankuasa, supaya pada tahap-tahap tertentu boleh menyenaraikan kontraktor-kontraktor yang dipilih supaya kontraktor itu bersih dan tidak mempunyai senarai hitam dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN