SHAH ALAM: Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 memutuskan tiada keperluan untuk membina fasiliti baharu di Selangor sebagai lokasi acara sukan bagi temasya tersebut.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, infrastruktur sedia ada sudah memadai untuk digunakan oleh atlet yang akan mengambil bahagian, namun beberapa fasiliti perlu dibaik pulih bagi memastikan dalam keadaan terbaik.
“Semua kemudahan dikenal pasti sebagai lokasi utama untuk SUKMA di antaranya Pusat Akuatik Darul Ehsan bagi sukan akuatik, Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi acara angkat berat, Pusat Konvensyen Setia City (badminton) dan lain-lain.
“Oleh demikian, pihak sekretariat sedang menyemak kos untuk membaik pulih kemudahan lokasi itu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengurusan lokasi berkenaan. Antara yang dikenal pasti untuk dibaik pulih adalah Pusat Akuatik Darul Ehsan, Lapang Sasar Negara Subang dan Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2, Klang,” katanya menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Kota Anggerik berkata, kos sebenar kerja baik pulih serta naik taraf kesemua fasiliti belum diperoleh kerajaan negeri daripada pihak Sekretariat SUKMA.
Jelas Mohd. Najwan, kesemua lokasi akan dipastikan mengikut spesifikasi yang ditetapkan badan sukan antarabangsa bagi membolehkan setiap atlet dapat mempamerkan prestasi terbaik sepanjang temasya berlangsung.
“Pegawai dan kakitangan yang dilantik akan memastikan operasi sekretariat berjalan mengikut tempoh yang ditetapkan. Mesyuarat penyelarasan yang melibatkan agensi utama di Selangor bagi setiap jawatankuasa juga dibuat bagi memastikan pelan pelaksanaan mengikut jadual ditetapkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA masih belum memuktamadkan jenis sukan yang akan dipertandingkan, namun ia akan diputuskan oleh badan tersebut yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – UTUSAN