SHAH ALAM: Kerajaan negeri disyor ‘kertas putih’ tragedi letupan paip gas Putra Heights dikeluarkan, diterbitkan dan dibahaskan secara terbuka di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya situasi sebenar insiden itu dapat didedahkan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin berkata, beliau bersetuju dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menubuhkan jawatankuasa khas yang melibatkan pakar, namun mengharap satu laporan lain dapat dibahas secara meluas.
“Satu, dewan (DUN) perlu bersetuju bahawa satu kertas putih perlu diterbitkan, dibahaskan secara terbuka dalam dewan ini supaya bukan dewan sahaja dapat tahu, malah rakyat juga tahu kebenaran dan pembelaan sewajarnya.
“Saya yakin majoriti penduduk Putra Heights dan Kampung Sungai Baru tidak dapat move on daripada hasil siasatan yang dikeluarkan pihak berkuasa sebelum ini,” katanya ketika membahaskan tragedi Putra Heights pada Sidang DUN Selangor, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Selangor melepaskan peluang besar untuk melibatkan pelbagai pihak bagi mencari jalan penyelesaian kejadian berkenaan.
Dr. Afif menambah, laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa tidak sepatutnya terhad dengan pergerakan tanah menjadi punca kepada berlakunya kejadian, sebaliknya siasatan perlu dibuat dengan lebih mendalam.
Sementara itu, ketua pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikai tindakan membenarkan kontraktor membuat kerja-kerja pembinaan selepas tempoh kebenaran permit daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya tamat pada 8 Januari lalu.
Kerja berkenaan didakwa melibatkan pengorekan tanah bagi penggantian paip pembentung yang dibuat permohonannya kepada KUSEL (Koridor Utiliti Selangor) pada 19 April tahun lalu sebelum diluluskan oleh MBSJ bermula 3 Oktober.
“Kerja pembaikan paip diluluskan bermula pada 8 Oktober 2024 hingga 8 Januari 2025. Pihak kontraktor lantikan Petronas menjalankan prosedur trial pit pada 26 Februari lalu dan dijalankan bagi memastikan tiada gangguan saluran paip semasa kerja-kerja paip pembentung.
“Kelulusan daripada pihak Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggantian paip pembentung melintas paip Petronas dikeluarkan pada 20 Mac 2025.
“Maka kerja-kerja penggantian paip pembentung dijalankan bermula pada 27 Mac 2025 hingga 30 Mac 2025. Persoalannya, macam mana kerja-kerja di tapak dilakukan setelah tempoh yang diberikan MBSJ sudah tamat. Tiada satu ayat pun berhubung hal ini di dalam laporan tersebut,” tegasnya. – UTUSAN