SHAH ALAM: Kira-kira 1,600 hektar tanah rizab Melayu di Selangor yang sebelum ini dinyahwarta sejak zaman penjajahan British masih belum diganti.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2021 dan 2022 mengenalpasti kira-kira 1,456 hektar tanah sebagai ganti.
Namun, katanya penggantian itu mengambil masa yang lama kerana memerlukan proses seperti perundangan dan sebagainya.
“Maknanya, sebelum ini pun tanah itu tidak digantikan. Yang mewarta tanah itu adalah pihak British. Jadi proses untuk mengganti kesemua tanah tersebut mengambil masa yang lama.
“Justeru nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri adalah lebih baik untuk keluarkan ini (tanah yang dinyahwarta) daripada senarai yang dinyahwarta.
“Kalau tidak (mengeluarkan tanah yang dinyahwarta), ia akan memberi kesan kepada senarai yang diberikan,” katanya ketika menjawab usul Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Jelas Amirudin, bagaimanapun keputusan menggantikan tanah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) namun, tetapi prosesnya memakan masa lama kerana perlu ikut prosedur Undang-Undang dan Kanun Tanah Negara.
Menurutnya, beberapa projek awam yang menyebabkan tanah itu dinyahwartakan seperti projek Sungai Way pada tahun 1985, pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Bagi projek Sungai Way, kita menggantikan tanah rizab itu (di sebuah kawasan) yang berkeluasan 10.11 hektar (25 ekar) pada tahun 2024 dan pada tahun hadapan, kita gantikan tanah di Sungai Way ini dengan sebuah kawasan di daerah Gombak dengan keluasan 16.9 hektar (42 ekar).
“Bagi projek ECRL, kita telah ganti (sebahagian) tanah yang digunakan untuk projek ini di sebuah kawasan di daerah Gombak dengan keluasan tanah 32.3 hektar (80 ekar) pada tahun 2023,” katanya. – UTUSAN