SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengakui pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan penghalang utama Selangor FC (SFC) menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, ia merupakan satu cabaran SFC bagi meraih dua kejuaraan tersebut, justeru pengurusan SFC sedang berusaha memperkuatkan pasukan bagi saingan musim bolasepak musim ini.
“Apa yang baik daripada JDT kita ambil seperti program latihan yang dipraktikkan oleh JDT, kita boleh contohi dan ambil.
“Walaupun JDT menjadi penghalang, kita akan terus berusaha sehingga boleh menggapai kesemua kejuaraan yang dipertandingkan dalam liga bolasepak negara ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Noor Najhan bertanyakan kepada Mohd. Najwan apakah perkara yang menghalang pasukan Red Giants untuk menggapai kejuaraan bola sepak di negara ini, seperti zaman kegemilangan pasukan tersebut ketika tahun 90an.
Menjawab soalan Noor Najhan iaitu adakah SFC akan mengambil pendekatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini giat mengambil pemain warisan bagi mewakili pasukan Malaysia, beliau menjawab, SFC mengambil pendekatan hybrid iaitu lebih mengutamakan pengambilan pemain tempatan.
“Kita ambil juga ambil pemain warisan untuk mewakili pasukan tetapi keutamaan adalah mengambil pemain tempatan. Pihak SFC melalui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri telah bekerjasama untuk memperkasakan sistem pembangunan bolasepak di peringkat negeri.
“Pihak SFC turut memberikan penekanan terhadap program pencarian bakat serta pembangunan jurulatih tempatan elit serta bertaraf antarabangsa bagi membolehkan pemain tempatan terbaik di setiap peringkat umur dapat dikenal pasti dan diberi latihan bertaraf tinggi,” jelasnya. – UTUSAN