1,189 aduan culas nafkah, pihak ingkar berdepan sitaan harta

DUN Selangor: 1,189 aduan culas nafkah, pihak ingkar berdepan sitaan harta

Culas nafkah
MOHAMMAD Fahmi Ngah menjawab pertanyaan berhubung aduan culas bayaran nafkah pada Sidang DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 1,189 aduan langgar perintah nafkah direkodkan di negeri ini terhadap bekas suami yang culas dalam menunaikan tanggungjawab itu sejak 2022 hingga 31 Mei lalu.

Malah, jumlahnya dilaporkan meningkat pada 2022 hingga 2024 apabila mencatatkan jumlah aduan iaitu 332, 391 dan 422.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahami Ngah berkata, bagaimanapun kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha untuk menambah baik perundangan syariah di negeri ini terutama berhubung isu nafkah cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

“Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah sedang meneliti dan mencadangkan pindaan bagi memperkemas peruntukan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah.

“JAKESS juga sedang merangka peluang kerjasama strategik bersama agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan bagi membantu proses pengesanan dan penyitaan aset pihak yang ingkar perintah nafkah,” katanya menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Jelas Mohammad Fahmi yang juga ADUN Seri Setia, daripada aduan yang direkodkan sebanyak 1,099 pendaftaran kes dicatatkan sejak 2023 hingga Mei lalu dan 71 peratus daripadanya sudah diselesaikan.

Selain itu, beliau turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh sekiranya ada kemudahan lain seperti platform bagi memudahkan urusan tuntutan nafkah oleh para ibu.

“Memang dalam proses untuk memastikan membuat pindaan enakmen tersebut yang kita cadangkan pada 2026. Di peringkat penguatkuasaan adalah, kalau bekerja dengan majikan lebih mudah, apatah lagi agensi-agensi kerajaan di bawah kita.

“Yang menjadi masalah adalah bapa bekerja sendiri, biasalahkan bila sudah kaya ada kereta baharu, rumah baharu, bini baharu. Itu yang jadi masalah kadang-kadang sebab syarikat mereka sendiri…tetapi peruntukan undang-undang sedang diteliti untuk memastikan kebajikan ibu-ibu dijaga sebaiknya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN