DUN Selangor: 1,028 MyKiosk di sediakan di 12 PBT

DUN Selangor: 1,028 MyKiosk di sediakan di 12 PBT

MyKiosk Selangor
NG Suee Lim menjawab isu berkaitan MyKiosk yang dibangkitkan dalam Sidang DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat 1,028 unit MyKiosk disediakan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini melibatkan 56 kawasan dengan kos berjumlah RM20.33 juta.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pembinaan MyKiosk itu ditanggung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM19.5 juta sementara PBT pula menanggung RM822,211 bagi kerja penyediaan tapak.

Menurutnya, MyKiosk yang diperkenalkan kerajaan pada tahun lalu bermatlamat untuk memastikan penjaja berniaga dengan selamat, bersih, selesa dan tersusun bagi membantu menangani isu penjaja berniaga di lokasi berisiko.

“Secara purata, kos pembinaan bagi seunit MyKiosk adalah sebanyak RM19,785.50 merangkumi kos struktur dan penyediaan tapak mengikut kesesuaian lokasi.

“Usaha itu membantu memperluas peluang keusahawanan kepada golongan sasar seperti penjaja kecil, usahawan mikro dan komuniti berpendapatan rendah dalam suasana niaga yang lebih kondusif,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

Beliau, yang juga ADUN Sekinchan mengambil maklum aduan diterima berhubung kadar cagaran atau deposit bagi menyewa MyKiosk yang disifatkan tinggi ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr. Afif.

“Saya ambil maklum mengenai aduan peniaga yang mengatakan wang cagaran untuk mendapatkan MyKiosk mahal. Saya akan rujuk semua PBT berhubung hal ini. Tetapi, bayaran cagaran perlu dikenakan supaya peniaga menjaga MyKiosk sebaik mungkin, jelasnya.

Tambah Suee Lim, bagaimanapun PBT juga akan mengambil tindakan merampas kembali MyKiosk yang dibiarkan tidak beroperasi oleh peniaga yang tidak aktif menjalankan perniagaan untuk diserahkan kepada penjaja lain.

“Waktu sesi temuduga untuk mendapatkan MyKiosk, penjaja ini dengan semangat berkobar-kobar untuk melakukan perniagaan dan menggunakan MyKiosk dengan sebaiknya.

“Namun selepas mendapat gerai itu, mereka tidak mahu berniaga pula. Jadi, ini satu kerugian kerana ada penjaja yang mahu MyKiosk ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN