SHAH ALAM: Seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di negeri ini dikesan mengalami tanda-tanda awal dan berisiko tinggi mendapat kemurungan selepas saringan dibuat terhadap 36,428 remaja pada peringkat umur itu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, dapatan itu hasil saringan menerusi instrumen analisis minda sihat (PHQ) yang menunjukkan sebanyak 2.8 peratus dikesan mengalami tanda-tanda itu.
“Berdasarkan Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Selangor menunjukkan tingkah laku psikososial negatif di kalangan murid dalam keadaan terkawal.,” katanya menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama memaklumkan program intervensi dilaksanakan dan diperluas secara menyeluruh ke sekolah rendah, khususnya melibatkan murid Tahun 5 dan Tahun 6.
Jelasnya, hasrat utama daripada intervensi minda sihat yang dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran awal tentang kepentingan kesihatan mental serta membina daya tahan diri dalam kalangan murid.
“Fokus intervensi adalah kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal, latihan pemerkasaan Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah.
“Ini dilakukan melalui bengkel kemahiran intervensi minda sihat Antara Intervensi Umum dan Amalan Gaya Hidup Sihat yang dijalankan adalah Sesi Bimbingan,Teknik Relaksasi, Latihan Pernafasan, Senaman dan Urutan Bahu dan Leher,” ujarnya. – UTUSAN