Dataran Waterfront Bagan Datuk makin popular

Dataran Waterfront Bagan Datuk makin popular

PELANCONG melawat kawasan Dataran Waterfront Bagan Datuk. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kedatangan pelancong Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini semakin meningkat terutama selepas lokasi tumpuan ramai itu di­rasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini.

Pelancong yang ditemui kagum dengan pemandangan indah dan kemudahan riadah dan rekreasi yang disediakan di kawasan itu termasuk pemuliharaan bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar pekan itu.

Mereka berkata, landskap dataran itu menarik kerana terdapat replika tempurung kelapa, simbolik kepada tanaman pertanian utama di daerah ini, selain air pancut dan juga sebuah replika kapal jong termasuk set alat permainan kanak- kanak beserta informasi sejarah di bahagian dalam dan atas kapal jong tersebut.

Pemandu pelancong dari Ipoh, Chan Poh Lin, 55, berkata, kebanyakkan pelancong yang mahu melancong ke Pulau Sembilan, iaitu dalam daerah Bagan Datuk, memilih melawat pekan tersebut sebelum ke Pulau Sembilan.

Menurutnya, mereka mahu melihat sendiri keindahan kawasan Dataran Waterfront Bagan Datuk yang sudah berubah wajah, sekaligus me­ngubah landskap dan tarikan ke pekan dan daerah Bagan Datuk.

“Rata-rata pelancong yang saya bawa ke dataran ini kagum dengan perubahan yang dilakukan di dataran ini. Dulunya kawasan ini kosong sahaja tetapi kini sudah dibangunan pelbagai kemudahan dan daya tarikan.

“Di dataran ini ada kemudahan riadah dan rekreasi, replika tempurung kelapa dan air pancut menambah keunikan kawasan ini. Replika kapal jong di dataran ini menggambarkan kawasan ini kaya dengan sejarah selain alat permainan kanak- kanak beserta informasi sejarah di bahagian dalam dan atas kapal jong dapat menambah pengetahuan pelancong mengenai daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi peniaga nasi ayam di pekan tersebut, Razali Mohd. Yusop, 60, Dataran Waterfront Bagan Datuk memang menjadi tarikan utama pelancong ke sini selain masjid terapung, Masjid Tuminah Hamidi yang terkenal dengan keunikkan binaannya.

Dia gembira melihat per­kembangan pekan dan Daerah Bagan Datuk yang semakin berkembang dari aspek kunjungan pelancong yang dibantu dengan siapnya Jambatan Sultan Nazrin, yang memudahkan perjalanan ke pekan ini.

“Malah bukan sahaja pada hujung minggu atau musim cuti, pada hari biasa pun pelancong tetap ramai. Saya sifatkan pekan Bagan Datuk bukan lagi pekan yang sunyi,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk baru-baru ini.

Berucap pada majlis perasmian itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan dataran itu memberi peluang orang ramai khususnya penduduk Bagan Datuk meluangkan masa untuk beriadah bersama keluarga di samping menikmati keindahan matahari terbenam berlatarkan muara Sungai Perak pada waktu senja.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pekan kecil itu sebelum ini dianggap sebagai tanah hujung Perak yang kurang dikunjungi, tetapi keberadaan dataran itu telah mengubah keadaan itu apabila pekan itu kini sering penuh dengan orang ramai dan berlaku kesesakan jalan raya setiap hujung minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN