BAGAN DATUK: Pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop di sini yang menghubungkan daerah ini dengan tiga daerah lain dan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal menarik pelaburan syarikat besar dalam bidang industri automotif dan perkapalan antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini tiga syarikat sudah menyatakan minat untuk melabur di sini iaitu sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam pembuatan kenderaan penumpang dan perdagangan ringan.
Menurutnya, selain itu sebuah syarikat pembuat bateri dan kenderaan elektrik (EV) dari China juga berminat melabur di sini dan rundingan untuk pembelian tanah ladang bagi pembinaan kilang telah dimulakan.
Beliau berkata, pelaburan oleh syarikat dari China itu bakal mewujudkan tidak kurang 7,500 pekerjaan baharu.
“Di samping itu, sebuah limbungan untuk pembaikan kapal serta pembuat kapal dari Turkiye telah berjumpa dengan saya dan mereka akan melabur di Bagan Datuk bagi menampung keperluan pembaikan kira-kira 70,000 kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka.
“Kini pembaikan kapal dilakukan di Singapura namun oleh kerana bebanan permintaan limbungan dan pembaikan kapal di Singapura tidak dapat menampung permintaan maka saya telah mengadakan rundingan dengan syarikat pembaikan kapal dari Turkiye itu untuk membina pelabuhan pembaikan kapal di Bagan Datuk.
“Jika siap kelak, ia akan membuka peluang 2,500 pekerjaan. Bagi persiapan tenaga pekerjanya, dengan pembinaan dan penyiapan Politeknik Bagan Datuk menumpukan kepada tiga bidang iaitu kejuruteraan kelautan, seni bina perkapalan dan kimpalan pembaikan badan kapal.
“Pelaburan-pelaburan ini semata-mata kerana pembinaan jambatan baharu ke Bagan Datuk. Ketiga-tiga pelaburan ini telah saya mulakan perbincangan dan saya akan melakukan tindakan susulan. Apabila ketiga-tiga pelaburan ini dapat dilakukan, ini akan memberi 10,000 peluang pekerjaan sebelum tahun 2027,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Bas Ekspres Maraliner dan Majlis Pelancaran Laluan Bagan Datuk–Kampung Sejagop di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, ketiga-tiga syarikat pelabur itu telah menghantar surat tunjuk minat kepada beliau untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya akan lakukan kordinasi malah Mara sendiri umpanya menjadikan Giat Mara di Hutan Melintang untuk diubah kepada Giat Mara yang menjadi penyumbang bagi tenaga mahir TVET,” katanya.
Mengenai jambatan bernilai RM460 juta sepanjang 10.5 kilometer dengan 1.54 km adalah panjang jambatan merentasi Sungai Perak yang mula dibuka kepada kenderaan sejak semalam, Ahmad Zahid berkata, pembinaan jambatan ini memendekkan perjalanan dari Bagan Datuk dan sebaliknya ke tahap 15 minit berbanding kira-kira sejam 15 minit jika menggunakan laluan sebelum ini.
Menurutnya, pembinaan jambatan itu bakal memberi impak pembangunan bukan sahaja di Bagan Datuk tetapi juga Pasir Salak, Teluk Intan dan Sabak Bernam di Selangor.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya dan Mara kerana aktif menggunakan prasarana baru ini untuk pembangunan bukan hanya untuk 70,000 pengguna di Dagan Datuk tetapi meliputi tidak kurang 200,000 pengguna dari empat daerah,” katanya. – UTUSAN










