TOKYO: Jepun berdepan cuaca panas melampau dengan suhu mencecah rekod baharu 41.2 darjah Celsius hari ini, manakala bandar bersejarah Kyoto mencatatkan 40 darjah Celsius buat pertama kali sejak data mula direkodkan.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan, suhu panas luar biasa itu direkodkan di wilayah barat Hyogo, sekali gus mengatasi rekod terdahulu 41.1 darjah Celsius yang dicatat Hamamatsu pada 2020 dan Kumagaya pada 2018.
Fenomena itu berlaku ketika dunia terus mengalami peningkatan suhu akibat perubahan iklim yang menyebabkan cuaca semakin tidak menentu.
Di Kyoto, suhu mencecah 40 darjah Celsius, menjadikannya catatan tertinggi di mana-mana stesen cuaca bandar itu sejak pemerhatian bermula.
Rekod suhu panas itu berlaku pada hari sama Jepun berada dalam keadaan berjaga-jaga, susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi kuat berukuran 8.8 skala Richter di timur Russia.
Musim panas di Jepun tahun lalu direkodkan sebagai paling panas dalam sejarah, menyamai tahap yang dicatat pada 2023, dan diikuti musim luruh paling panas sejak rekod mula dikumpulkan 126 tahun lalu.
Kerajaan Jepun mengeluarkan amaran strok haba di kebanyakan kawasan negara itu dalam beberapa hari kebelakangan ini, apabila suhu melepasi 35 darjah Celsius di ratusan pusat pemerhatian.
Semalam, suhu mencecah 35 darjah Celsius atau lebih di 322 daripada 914 pusat pemerhatian di seluruh negara, jumlah tertinggi sejak data perbandingan tersedia pada 2010.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), sebanyak 38 lokasi mencatatkan suhu tertinggi baharu, termasuk Gujo di wilayah Gifu, tengah Jepun, yang mencatatkan suhu 39.8 darjah Celsius.
JMA berkata, gelombang haba itu dijangka berterusan dan memberi amaran mengenai peningkatan suhu ketera di kawasan utara serta timur negara itu.- AFP










