Contohi New Zealand tubuh Majlis Perniagaan Orang Asli

Contohi New Zealand tubuh Majlis Perniagaan Orang Asli

AHMAD Zahid Hamidi ketika melawat Perkampungan Budaya Whakarewarewa Living Maori Village di Rotorua, New Zealand, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROTORUA, NEW ZEALAND: Malaysia bercadang untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Orang Asli dan sebuah institusi Bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas bagi mempertingkat dan memperkasakan ekonomi masyarakat pribumi itu di dalam negara.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada lima cadangan utama yang diilhamkan daripada kejayaan hasil kerja komuniti Maori di New Zealand yang dilihat berjaya memperkasakan taraf hidup masyarakat pribumi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi merealisasikan perkara itu, beliau sendiri akan mengadakan mesyuarat khusus dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mewujudkan Majlis Perniagaan Orang Asli.

Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut merasakan bahawa institusi TVET khusus untuk Orang Asli boleh diwujudkan meliputi pelbagai bidang.

“Institusi itu harus meliputi pelbagai bidang yang akhirnya kita akan mewujudkan techopreneur (usahawan teknologi) dalam kalangan Orang Asli,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi sidang meja bulat bersama pemimpin perniagaan Maori, di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meluangkan masa berkunjung ke perkampungan tradisi Maori bagi melihat sendiri kawasan pelanco­ngan itu dengan lebih dekat.

Beliau berkata, dalam usaha mempromosikan kawasan Orang Asli di Malaysia, sebuah kawasan di Melaka akan didedi­kasikan sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.

Katanya, perkara itu sudah mendapat persetujuan Pengerusi Jawatankuasa yang menjaga hal ehwal Orang Asli di negeri berkenaan.

“Di samping itu, kita akan wujudkan satu sektor dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memberikan pinjaman mikro yang pada hemat saya khusus untuk kaum ibu dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Ini bagi (membolehkan) mereka menjana pendapatan dan tingkatkan taraf ekonomi keluarga. Ini boleh dipelajari dari sini (komuniti Maori),” katanya.

Pada masa sama, beliau ber­kata, kerajaan akan terus meng­galakkan anak-anak Orang Asli untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti supaya mampu mengubah taraf kehidupan keluarga dan masyarakat komuniti berke­naan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN