KOTA BHARU: Dewan Ulama Pas menyifatkan cadangan supaya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden sebagai naratif ‘campak pukal’ yang tidak berasas dilontarkan oleh penganalisis politik.
Ketua Penerangannya, Mohd. Asri Mat Daud berkata, naratif itu tidak diperlukan berikutan semua pihak sudah sedia makluman bahawa Abdul Hadi tetap kekal sebagai Presiden Pas dan beliau kini sudah semakin sihat.
Katanya, sehingga kini tiada angin atau ribut yang membawa perkhabaran mengatakan Abdul Hadi naik ke jawatan Mursyidul Am sama ada daripada peringkat kawasan, negeri malahan dewan-dewan di peringkat Pusat sekali pun.
“Jadi kita boleh katakan ia naratif ‘campak pukal’ sebab kalau tanya kepada mana-mana perwakilan Pas mereka akan kata ia sekadar spekulasi sedangkan kita dapat lihat gandingan Tok Guru (Abdul Hadi) dan Tuan Ibrahim sudah semakin serasi.
“Jadi tidak perlu ada sebarang spekulasi lain termasuk mengatakan Tuan Ibrahim sesuai ganti Presiden jika Tok Guru hendak ke Mursyidul Am. Tidak perlu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pas dilihat belum bersedia untuk membuka laluan kepada Tuan Ibrahim menjadi Presiden parti itu.
Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu hanya mempunyai peluang cerah untuk menjadi Presiden Pas seterusnya jika Abdul Hadi bergerak ke jawatan Mursyidul Am.
Bagaimanapun, katanya, sudah menjadi tradisi dalaman parti sukar untuk mendesak seorang pemimpin berundur kerana pendekatan yang diamalkan oleh Pas adalah semakin berusia pemimpin berkenaan maka pemimpin tersebut semakin dihormati.-UTUSAN.










