HANOI: Sekurang-kurangnya 34 maut selepas sebuah bot pelancong yang membawa keluarga beriadah di kawasan terkenal Teluk Halong karam dalam kejadian yang berlaku petang semalam.
Menurut portal VNExpress, bot yang membawa 48 penumpang dan lima kru karam secara tiba-tiba ketika melalui perairan Tapak Warisan Dunia UNESCO, akibat hujan lebat mendadak dan kebanyakan penumpang adalah keluarga dari ibu negara, Hanoi, termasuk lebih 20 orang kanak-kanak.
“Pasukan pengawal sempadan berjaya menyelamatkan 11 orang dan menemukan 34 mayat,” lapor portal itu yang memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan, tidak lama selepas Ribut Tropika Wipha melanda Laut China Selatan dan ketika kejadian, kawasan tersebut dilaporkan mengalami angin kencang, hujan lebat serta kilat.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga malam bagi mengesan baki mangsa yang hilang.
Seorang mangsa terselamat, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, menceritakan detik cemas itu kepada media tempatan VietnamNet.
“Saya tarik nafas panjang, berenang cari celah, menyelam, kemudian naik ke atas semula. Saya sempat menjerit minta tolong sebelum diselamatkan oleh tentera yang berada di atas bot,” katanya.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Keselamatan Awam menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan segera.
Ribut Tropika Wipha melanda selepas tiga hari cuaca panas melampau dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius di beberapa kawasan negara tersebut namun begitu, Ketua Pusat Ramalan Meteorologi Kebangsaan, Mai Van Khiem, memaklumkan ribut petir di bahagian utara Vietnam itu bukan berpunca daripada kesan langsung Ribut Wipha.
Teluk Halong merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Vietnam dengan jutaan pelawat berkunjung setiap tahun bagi menikmati keindahan air biru kehijauan dan pulau batu kapur yang dipenuhi hutan.
Ribut Tropika Wipha merupakan taufan ketiga yang melanda Laut China Selatan bagi tahun ini dan dijangka membadai kawasan pantai utara Vietnam awal minggu depan.
Gangguan cuaca akibat ribut tersebut turut menjejaskan perjalanan udara apabila Lapangan Terbang Noi Bai melaporkan sembilan penerbangan masuk terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala tiga penerbangan keluar ditangguhkan buat sementara waktu.- AFP










