SHAH ALAM: Sebanyak 25 kertas siasatan berhubung Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) akan dirujuk ke pihak pendakwaan Mahkamah Syariah bagi tindakan susulan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kesemua kertas siasatan itu termasuk dakwaan melanggar fatwa ajaran sesat sudah pun dilengkapkan.
“Kita ada 25 kertas siasatan yang sudah ready diangkat untuk pendakwaan bagi GISBH. Tunggulah,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini dilaporkan menahan seramai 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH dan disiasat di bawah Seksyen 12 (c ) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor melibatkan fatwa yang dikuatkuasakan berhubung GISBH.
Pada Oktober tahun lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya difatwa haram. – UTUSAN