KUALA LUMPUR: Sebanyak 160 Bahagian UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab supaya Titah Adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah dilaksanakan.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, kerajaan tidak lagi mempunyai alasan munasabah untuk melengahkan pelaksanaan titah diraja itu yang dianggap jelas dan muktamad.
Katanya, tindakan ‘menyembunyikan’ perkara berkenaan bercanggah dengan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
“Tindakan menyorok ini jelas melanggar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran undang-undang negara,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Ketua-Ketua UMNO Bahagian, di sini malam ini.
Sementara itu, Mohd. Shafei berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh selepas dikatakan menyembunyikan fakta dan dokumen berhubung kewujudan Titah Adendum.
“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendukung keadilan, bukan menghalangnya.
“Bagaimanapun, melaksanakan Titah Adendum lebih penting daripada penubuhan RCI,” katanya.-UTUSAN.










