12 hari terperangkap di lebuh raya, kesesakan paling teruk dalam sejarah

12 hari terperangkap di lebuh raya, kesesakan paling teruk dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kesesakan lalu lintas terpanjang dalam sejarah masih menjadi topik perdebatan apabila pelbagai insiden luar biasa direkodkan di seluruh dunia, sama ada dari segi jumlah kenderaan, jarak mahupun tempoh masa.

Pada 2010, Lebuhraya Nasional China 110 menjadi tumpuan apabila ribuan kenderaan terperangkap selama 12 hari dalam kesesakan sepanjang lebih 100 kilometer (km).

Insiden itu bukan sahaja menjejaskan pergerakan ribuan orang, malah mencetuskan suasana ‘ekonomi sementara’ apabila penduduk tempatan mengambil peluang menjual makanan dan bekalan asas kepada pemandu yang terperangkap.

Dalam kejadian pada Ogos 2010, ratusan ribu pengguna jalan raya berdepan mimpi ngeri apabila terkandas selama hampir dua minggu tanpa makanan, air atau ruang untuk memusingkan kenderaan semasa kesesakan luar biasa di Lebuhraya Nasional China 110.

Insiden bermula pada 14 Ogos, apabila kerja penyelenggaraan lebuh raya bertembung dengan peningkatan trafik berat terutamanya lori yang membawa arang batu dan bahan binaan dari Inner Mongolia ke Beijing.

Sebelum pihak berkuasa menyedari situasi sebenar dan menutup laluan masuk dari jalan lain, ratusan ribu orang sudah pun terperangkap di lebuh raya sepanjang lebih 100 km.

Jumlah trafik di Lebuhraya Nasional China 110 meningkat sebanyak 40 peratus setiap tahun, dan ketika insiden berlaku, jumlah kenderaan melebihi 60 peratus daripada kapasiti asal reka bentuknya.

Dalam tempoh itu, penduduk tempatan mengambil kesempatan membuka kedai sementara di tepi lebuh raya, menjual makanan, air dan rokok pada harga tinggi.

Sebotol air yang biasanya berharga 1 yuan (RM0.59) dijual sehingga 15 yuan (RM8.90) di lokasi kesesakan.

Walaupun pihak berkuasa cuba menyuraikan trafik dengan membenarkan lebih banyak lori masuk ke Beijing pada waktu malam, usaha itu tidak mencukupi. Ia mengambil 12 hari penuh sebelum kesesakan luar biasa ini akhirnya reda.

Manurut Rekod Dunia Guinness, kesesakan paling teruk dari segi jumlah kenderaan berlaku pada 1990 di sempadan Jerman Timur-Barat, apabila 18 juta kenderaan dilaporkan terperangkap kesesakan.

Terbaharu pada Februari lalu, kesesakan luar biasa dilaporkan di Uttar Pradesh, India, dikatakan merekod jarak paling jauh dalam sejarah.

Kesesakan tersebut dikatakan merebak sehingga 300 km, merentasi beberapa daerah di negeri jiran, Madhya Pradesh, dan berlarutan selama hampir 48 jam.- AGENSI

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN