PASIR MAS: Seorang warga emas dari Kampung Temenggong Nibong di sini, menangis tanda kesyukuran selepas rumahnya yang hanya menunggu masa untuk rebah sebelum ini, siap dibaik pulih sekali gus membolehkannya meneruskan hidup dalam keadaan lebih selesa.
Mohamad Tarmizi Husain, 60, yang hidup sebatang berkata, rumah baharu itu bukan sahaja selesa malah dilengkapi dengan bilik tidur dan tandas.
“Pembinaan rumah ini mengambil masa tiga bulan dan saya tidak perlu risau lagi bumbung bocor, lantai dan dinding reput.
“Ini semua usaha Yayasan Raja Shamri yang membantu membina rumah baharu ditapak asal pondok usang saya sebelum ini,” katanya ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Mohamad Tarmizi berkata, upah sebanyak RM50 yang diperoleh hasil kerja-kerja meracun rumput menyebabkannya tidak mampu daripada segi kewangan untuk membaik pulih rumah tersebut.
“Saya tinggal di sini seorang sejak usia 16 tahun selepas nenek meninggal dunia. Saya tidak dapat menahan air mata melihatnya kembali tersergam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Dr. Raja Shamri Raja Husin berkata, kos untuk baik pulih rumah itu adalah sebanyak RM35,000.-UTUSAN.










