SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam rumah apabila kediamannya dekat Bukit Kemuning, di sini, hari ini dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.29 pagi tadi dan menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam.
“Dalam laporan awal, pemanggil memaklumkan seorang warga emas terperangkap di dalam rumah yang dinaiki air.
“Mangsa (wanita) dikeluarkan oleh orang awam daripada rumah dan dibawa ke tempat yang selamat. Paras air banjir di lokasi kejadian adalah satu meter. Pusat pemindahan sementara (PPS) masih belum dibuka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan sebahagian kawasan dan jalan-jalan utama di sekitar daerah ini dan Klang didapati dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Berdasarkan tinjauan dan makluman awam dalam media sosial, antara kawasan-kawasan terjejas di Shah Alam seperti di Jalan Kebun Barat, Lorong Haji Yusof dan Plaza Tol Kota Kemuning di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) selain terdapat beberapa rumah sudahpun dilimpahi air.
Di Klang pula, limpahan air dilaporkan berlaku di jalan-jalan utama Bandar Puteri, Sentosa dan Bulan Simpang Lima. Kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di sepanjang jalan utama sehingga ke Johan Setia. – UTUSAN