KUALA LUMPUR: Sentimen gabungan UMNO dan DAP yang sering dirujuk sebagai ‘UMDAP’ perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam kepada ahli parti di peringkat akar umbi.
Langkah itu supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga memberi kesan kepada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU-16) tidak lama lagi.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun gabungan kerjasama itu telah dijalinkan hampir tiga tahun namun sentimen berkenaan masih dimainkan.
“UMNO masih bersemangat daripada segi komitmen terhadap kerajaan hari ini, dan kalau kita lihat menteri-menteri UMNO menunjukkan prestasi yang baik, ia menunjukkan kekuatan dalam UMNO itu sendiri. Namun, setakat mana kekuatan itu boleh memenangkan UMNO?
“Sebab itu saya pesan, UMNO perlu bekerja dengan lebih kuat untuk memperjelaskan isu yang berbangkit di peringkat akar umbi iaitu sentimen UMDAP. Saya lihat walaupun penjelasan telah dibuat, tetapi sentimen itu masih berlaku.
“Bukan itu sahaja, malah beberapa isu lain turut dikenal pasti dimana UMNO perlu mengatasinya dan memberikan penerangan dan jawatan yang boleh menyelesaikan masalah dan sentimen itu. Saya bimbang sentimen seperti UMDAP itu memberi kesan kepada UMNO pada PRU nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.-UTUSAN.










