SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menyelesaikan isu tuntutan penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama dekat sini berhubung insiden benteng kolam takungan yang pecah tiga kali sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau maklum akan tuntutan 28 penduduk yang dibuat melalui surat tuntutan (LoD) kepada kerajaan negeri dan akan menyemak dengan Kamar Penasihat Undang-undang Selangor.
“Saya baru pulang daripada menghadiri Pameran Udara Paris di Perancis. Jadi, saya belum pasti sama ada mereka sudah pun menghantar LoD berkenaan kepada Kamar Penasihat Undang-undang atau belum.
“Kita akan selesaikan isu ini mengikut proses undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pusat penyelenggaraan APS Asia Pasific, hari ini.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 28 penduduk terlibat menuntut ganti rugi berjumlah RM1.6 juta daripada pihak pemaju kerana tidak tahan lagi dengan insiden kolam takungan pecah sejak 2015.
Peguam yang mewakili penduduk, Nur Aminahtul Mardhiah Md. Nor berkata, jumlah ganti rugi itu adalah anggaran awal nilai kerosakan yang dialami penduduk seperti kerosakan struktur rumah, perabot, kenderaan dan lain-lain.
Sekiranya tidak mendapat maklum balas memuaskan, katanya, pihaknya akan memfailkan saman kepada beberapa pihak berkaitan. – UTUSAN