Trump tangguh lagi larangan TikTok, beri 90 hari cari pembeli baharu

Trump tangguh lagi larangan TikTok, beri 90 hari cari pembeli baharu

FOTO menunjukkan aplikasi TikTok pada skrin telefon pintar di hadapan logo aplikasi video popular milik China itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memutuskan untuk memberikan lanjutan selama 90 hari lagi kepada TikTok bagi mencari pembeli baharu yang bukan berpangkalan di China, menurut kenyataan Rumah Putih semalam.

Langkah itu sekali gus menangguhkan buat kali ketiga pelaksanaan larangan ke atas aplikasi popular tersebut.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, lanjutan itu akan ditandatangani menerusi perintah eksekutif baharu dalam minggu ini, selepas undang-undang persekutuan yang menuntut penjualan atau larangan TikTok atas alasan keselamatan negara sepatutnya berkuat kuasa sehari sebelum Trump dilantik secara rasmi pada Januari lalu.

“Presiden Trump tidak mahu TikTok dihentikan operasinya. Lanjutan ini akan berlangsung selama 90 hari bagi membolehkan perjanjian dimuktamadkan dan rakyat Amerika boleh terus menggunakan TikTok dengan menjamin keselamatan data mereka,” katanya dalam kenyataan.

Trump, yang bergantung kepada media sosial untuk kempen pemilihan 2024, pernah menyatakan minatnya terhadap TikTok.

“Saya ada sedikit rasa sayang terhadap TikTok. Jika ia perlu dilanjutkan, saya bersedia,” katanya dalam satu temu bual bersama NBC News pada Mei lalu.

Sebelum ini, Trump menyokong larangan atau penjualan TikTok, namun berubah fikiran selepas percaya aplikasi itu membantunya memenangi sokongan pengundi muda dalam pilihan raya November lalu.

Larangan rasmi ke atas TikTok sepatutnya berkuat kuasa pada 19 Januari, namun ditangguhkan sebanyak dua kali dengan lanjutan pertama selama 75 hari dan kedua sehingga 19 Jun ini.

Antara cadangan penyelesaian termasuk pemegang saham sedia ada dari AS dalam ByteDance mengekalkan pegangan mereka dalam syarikat TikTok baharu yang lebih bebas, dengan syarikat seperti Oracle dan Blackstone turut menyertai pelaburan untuk mengurangkan pegangan China.

Buat masa ini, kebanyakan operasi TikTok di AS telah ditempatkan di pelayan milik Oracle, syarikat yang dipengerusikan oleh sekutu rapat Trump, Larry Ellison namun, masih wujud ketidaktentuan, terutamanya mengenai nasib algoritma aplikasi tersebut yang menjadi kekuatan utama platform itu.

Sementara itu, TikTok meneruskan operasi seperti biasa dan pada Isnin memperkenalkan alat kecerdasan buatan (AI) baharu dikenali sebagai ‘Symphony’ bagi membantu pengiklan menghasilkan video dengan hanya menggunakan teks atau imej. — AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN